Ahli warisan bedudun ke pedalaman Belait

Oleh Daniel Lim

BELAIT, 6 SEPT – Lebih 50 orang ahli Persatuan Warisan Kedayan Jerudong (WARISAN) telah mengadakan lawatan ke kawasan pedalaman Belait sebagai sebahagian daripada Program Bedudun persatuan berkenaan, hari ini.

Rombongan diketuai oleh Presiden WARISAN, Awang Abdul Hamid bin Abas dan disertai oleh Penasihatnya, Haji Pungut bin Kasim dan Pemangku Ketua Kampung Jerudong, Awang Kamis bin Panjang serta ahli-ahli persatuan.

Lawatan dimulakan di Dewan Kemasyarakatan Labi di mana mereka dialu-alukan oleh ahli Majlis Mesyuarat Negara dan Pemangku Penghulu Mukim Labi, Yang Berhormat Awang Hanapi bin Mohd Siput bersama Pegawai Daerah Belait, Awang Ramlee bin Haji Jamudin.

Perhimpunan di dewan berkenaan memberi peluang kepada ahli-ahli untuk mengetahui lebih lanjut mengenai kawasan berkenaan di samping mengeratkan silaturahim dan bertukar-tukar budaya dan tradisi dengan soalan-soalan yang diutarakan oleh ahli-ahli persatuan.

Selain itu, ahli-ahli persatuan dan penduduk setempat juga sama-sama mencari cara untuk memulihara warisan budaya dan sejarah Kedayan menerusi sesi perkongsian yang dijalankan.

Rombongan kemudian bergerak ke Rumah Panjang Mendaram Besar yang terletak berdekatan, di mana mereka dialu-alukan dengan persembahan gulintangan oleh penghuni rumah panjang berkenaan.

Setiausaha Jawatankuasa Rumah Panjang Mendaram Besar, Marai anak Kasi turut mengalu-alukan rombongan tersebut ketika menjelaskan mengenai sejarah serta komuniti rumah panjang berkenaan. Beberapa persembahan juga ditampilkan oleh penghuni warga emas.

Ahli-ahli rombongan juga berpeluang melihat pelbagai kraf tangan daripada bakul tenunan hingga hiasan kepala tradisional serta berbagai-bagai produk yang dihasilkan di kawasan berkenaan termasuk buah-buahan dan sayuran tempatan.

Mereka juga menikmati hidangan tempatan yang disediakan oleh penghuni rumah panjang.
Pada sebelah petang, lawatan disusuli ke ladang kopi Labi yang diusahakan oleh Pertanian Tropikal Utama.

Salah satu persembahan yang diketengahkan kepada rombongan semasa lawatan mereka ke rumah panjang tersebut.