Tuesday, May 13, 2025
27.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Ahmad Faizal harap atlet M’sia pamer prestasi terbaik

    KUALA LUMPUR, 21 APRIL – Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berharap, para atlet Malaysia akan mempersembahkan prestasi terbaik mereka pada temasya Sukan SEA Hanoi yang dijadualkan bermula pada 12 hingga 23 Mei ini.

    Beliau berkata ia penting kerana pencapaian di Sukan SEA akan menjadi titik permulaan untuk meneruskan momentum kejayaan pada dua temasya utama selepas itu, iaitu Sukan Komanwel Birmingham bermula Julai dan Sukan Asia Hangzhou pada September.

    “Apabila menyarung jersi kebangsaan, kita tidak boleh memberi kedua atau ketiga terbaik, harus memberi prestasi yang terbaik kita. Bagi saya, walaupun seseorang atlet itu tidak dapat membawa pulang pingat, tetapi jika mereka berlatih bersungguh-sungguh dan dapat atasi rekod peribadi, ia amat baik.

    “Namun, saya berdoa agar para atlet kita bukan sahaja beri persembahan terbaik, tetapi turut membawa pulang sebanyak pingat emas yang boleh,” katanya ketika ditemui pemberita selepas sesi dialog dan majlis berbuka puasa Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bersama Persatuan Penulis-penulis Sukan Malaysia, malam tadi.

    Pada masa sama, Ahmad Faizal berkata walaupun Malaysia bakal menghantar kontinjen yang besar dengan lebih 600 atlet pada kali ini, kontinjen negara tidak boleh terlalu optimis untuk meletakkan sasaran yang tinggi. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda