Wednesday, November 6, 2024
23.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Ahmad Hussaini diundi calon Penghulu Mukim Kilanas

    Oleh Salawati Haji Yahya –
     
    BANDAR SERI BEGAWAN, 22 SEPT – Calon tunggal bagi mengisi jawatan Penghulu Mukim Kilanas, Awang Ahmad Hussaini bin Haji Mohsin, 38, mendapat 205 undi pada penutup Majlis Pengundian dan Pemilihan Calon Penghulu Mukim Kilanas yang diadakan di Dewan Kemasyarakatan Mukim Kilanas, Kampung Bengkurong, hari ini.
     
    Pemangku Pegawai Daerah Brunei dan Muara, Pengiran Ameer Mubaarak bin Pengiran Hashim selaku pengerusi bersama pada acara penutup itu berkata, “Mengundi merupakan satu mekanisme bagi setiap penduduk dan rakyat di negara ini untuk memilih pemimpin di peringkat akar umbi, sama ada mengundi menyokong atau tidak menyokong calon bagi mengisi jawatan Penghulu Mukim Kilanas.”
     
    Pengiran Ameer Mubaarak antara lain menggariskan peranan utama seorang penghulu mukim, iaitu selaku perantaraan dua hala di antara pihak kerajaan serta anak buah mukim dan kampung.
     
    Di samping itu, mereka juga bertanggungjawab mewujudkan, memelihara dan mengekalkan persefahaman, peraduan, kesejahteraan dan keharmonian dalam hidup bermasyarakat serta menggalakkan semangat bermucang-mucang supaya tidak luput ditelan zaman.
     
    Selaku anak buah dan masyarakat di mukim itu, jelasnya, penduduk lebih mengenali dan mengetahui latar belakang serta keperibadian calon, dan sudah setentunya memilih bakal pemimpin untuk menerajui mukim bagi mencapai hasrat serta wawasan ke arah membangunkan dan memajukan mukim tersebut.
     
    Tambahnya, “Adunan dari segi kerjasama, sokongan serta perpaduan semua masyarakat mukim yang kuat dan berterusan amat diperlukan. Ini ditambah dengan corak kepimpinan yang baik dan bijaksana daripada penghulu mukim serta kerjasama ketua-ketua kampung selaku teras pemimpin masyarakat di peringkat akar umbi,” jelasnya.
     
    Proses pengiraan kertas undi oleh pegawai-pegawai dan kakitangan Jabatan Daerah Brunei dan Muara dilakukan di hadapan penduduk kampung yang hadir pada majlis itu. 
     
    Antara yang hadir pada hari terakhir mengundi telah memasukkan kertas undi ke kotak undi yang disediakan. – GAMBAR OLEH SALAWATI HAJI YAHYA
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda