Wednesday, March 12, 2025
24.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Ahmad Jais mahu guna formula ‘2+1’

    KUALA LUMPUR, 28 JUN – Skuad sepak takraw kebangsaan berkemungkinan menggabungkan dua pemain daripada pasukan yang memenangi saingan Liga Sepak Takraw (STL) musim ini, dengan pemain lain dalam acara antara regu lelaki pada Sukan Asia 2022 di Hangzhou, China, September ini.

    Ketua Jurulatih Kebangsaan, Ahmad Jais Baharun berkata, pihaknya bersedia menggunakan formula itu memandangkan dua pemain daripada pasukan Juara STL yang sedang berlangsung ketika ini mempunyai persefahaman jitu dan berpotensi menambah sengat skuad Malaysia di Sukan Asia nanti.

    “Tak mustahil (pasukan Juara STL) masuk dalam skuad kebangsaan, kita mungkin tambah baik dua daripada pemain pasukan itu dengan pemain lebih baik daripada pasukan lain dan gabungkan jadi satu regu,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

    Minggu lepas, Presiden Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM), Datuk Mohd Sumali Reduan menyasarkan Malaysia untuk mempertahankan pingat emas acara regu lelaki di Sukan Asia 2022 yang dijadual berlangsung dari 23 Sept hingga 8 Oktober ini.

    Pada edisi 2018 di Indonesia, skuad Malaysia menamatkan kemarau emas sepak takraw selama 24 tahun selepas menewaskan tuan rumah 2-1 di pentas akhir.

    Dalam pada itu, Ahmad Jais berkata kemasukan semula Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) sebagai ahli gabungan Persekutuan Sepaktakraw Asia (ASTAF) pada 18 Jun lepas merupakan perkembangan baik buat sukan berkenaan.

    PSM sebelum ini disingkirkan daripada ASTAF pada Mei 2021 susulan tindakan presidennya ketika itu, Datuk Seri Ahmad Ismail menghantar surat kepada Majlis Olimpik Asia (OCA) dan Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) atas kapasitinya sebagai Timbalan Presiden ASTAF, pada 24 Februari 2021. – Bernama

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda