Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Ahmad Maslan marah penyelenggaraan teruk jalan Telupid-Sandakan, menyusahkan rakyat

    SANDAKAN, 4 OGOS – Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Ahmad Maslan, hari ini meluahkan rasa tidak puas hati dan marah beliau terhadap kerja penyelenggaraan jalan dari Telupid ke Sandakan yang teruk, sehingga dilihat sebagai amat menyusahkan rakyat negeri itu.

    Datuk Seri Ahmad Maslan (kiri) mendengar penerangan mengenai projek pembinaan jeti Marwilla 2 sewaktu melawat projek pembinaan jeti itu. – Bernama

    Ahmad berkata beliau faham jalan itu terlibat dengan pembinaan projek Lebuh Raya Pan Borneo, namun kontraktor projek juga perlu faham kontrak dipersetujui ada menyatakan bahawa penyelenggaraan jalan itu menjadi tanggungjawab mereka.

    “Dalam kontrak, mereka (kontraktor) hendaklah menyelenggarakan jalan di dalam kawasan tempat lebuh raya itu sedang dibina dan memastikan laluan orang ramai itu berada dalam keadaan terbaik, bukan teruk macam sekarang.

     “Petang semalam saya sendiri lalui jalan itu di pakej kerja (WP) 29 Moynod ke Sapi Nangoh, saya sedih kemudian jadi marah tengok jalan itu. Menyusahkan rakyat, sepatutnya projek lebuh raya ini menyenangkan rakyat bukan membawa derita kepada rakyat,” katanya.

     Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau kemajuan projek pembinaan jeti Markas Wilayah Laut (MAWILLA) 2, di sini hari ini.

     Ahmad turut berkongsi sewaktu perjalanan ke Sandakan semalam, pengawal peribadinya ada merakam empat video keadaan jalan yang rosak dan kesemua video itu sudah dikongsikan kepada pengurusan tertinggi Kementerian Kerja Raya.

    Beliau berkata terdapat tiga kawasan di laluan itu yang menjadi rungutan orang ramai kerana tidak diselenggarakan dengan baik, iaitu Jalan Sandakan Batu 32-Moynod (WP28), Jalan Moynod-Sapi Nangoh (WP29) dan Jalan Sapi Nangoh-Sungai Baoto (WP30).

    Selain itu, Ahmad mengarahkan Jabatan Kerja Raya agar kerap turun padang memantau perkembangan projek Lebuh Raya Pan Borneo Sabah Fasa 1A, dan melihat kesukaran rakyat yang terpaksa melalui jalan tidak siap, sekali gus memberi amaran kepada kontraktor terlibat secara lisan atau bertulis.

    Sehubungan itu, beliau menegaskan Kementerian Kerja Raya boleh melantik pihak ketiga bagi menyelenggarakan jalan yang rosak, disebabkan pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo Sabah Fasa 1A apabila kontraktor terlibat tidak mengambil tanggungjawab menyelenggarakan jalan terlibat.

    Malah, beliau memberitahu kos penyelenggaraan pihak ketiga itu juga akan dipotong daripada nilai kontrak diterima kontraktor utama.

    Ahmad berkata ini kerana kontrak dengan kontraktor terlibat mempunyai klausa tertentu berkaitan perkara terbabit, antaranya penyelenggaraan berjadual, perlindungan infrastruktur sedia ada, temporary road furniture, temporary diversions, traffic signage dan keselamatan.

    “Tempat itu dibaiki misalnya kos RM5 juta, dan kontraktor utama terima kontrak RM300 juta, maka kontraktor utama hanya dibayar RM295 juta manakala RM5 juta diberi kepada pihak ketiga itu,” katanya. – Bernama

     

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda