Sabtu, 22 November 2025
23.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Ahmad Murad salur patriotisme menerusi lukisan Gunung Jerai

    Oleh Atira Khalisha Nor Adnan –

    KUALA LUMPUR – Megah menjulang langit di tengah-tengah hamparan sawah padi yang melaut di sempadan daerah Kuala Muda dan Yan, Kedah, Gunung Jerai bagi kebanyakan orang hanyalah sebuah puncak setinggi 1,207 meter.

    Akan tetapi, bagi Profesor Datuk Dr Ahmad Murad Merican, Gunung Jerai bukan sekadar gunung, tetapi satu metafora hidup tentang tanah airnya, membawa gema peradaban, kerohanian dan kebudayaan yang beliau terjemahkan ke dalam pelbagai warna, tekstur dan bentuk di atas kanvas.

    Dalam tempoh tiga tahun lalu, profesor dalam bidang sejarah sosial dan intelektual daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia itu telah menyiapkan tiga lukisan Gunung Jerai, masing-masing mengetengahkan tafsiran tersendiri makna puncak tersebut dan melalui hasil seninya, beliau secara tidak langsung menyemai semangat patriotik.

    Merupakan seorang pelukis yang belajar sendiri, Ahmad Murad mendapat inspirasi daripada keunggulan Gunung Jerai dan peranannya yang bersejarah sebagai tempat persinggahan serta ikatan gunung itu dengan tamadun yang merentasi tradisi Hindu-Buddha hingga Islam.

    “Lukisan saya bukan sekadar sebuah lukisan, tapi satu penganjuran konsep, tamadun dan idea. Saya melihat Gunung Jerai sebagai satu idea dan memanifestasikan idea tersebut dalam pelbagai bentuk. Bukan melukis rupa sebenar Gunung Jerai itu, tetapi rona, ton dan visual sebagaimana yang saya lihat,” jelasnya.

    Beliau berkata lukisan pertama Gunung Jerai dihasilkannya pada 2022 ketika berada di sebuah hotel di Pulau Pinang yang menghadap gunung itu.

    “Saya berada di sana selama satu jam pada waktu pagi, antara 6:45 hingga 7:30, mengambil gambar. Pada waktu pagi, warna gunung itu sebenarnya berubah,” kata beliau.

    Jika karya awalnya berusaha mengabadikan rupa fizikal gunung tersebut, lukisan-lukisan seterusnya pula berkembang menjadi ungkapan suasana dan simbolisme. Dengan lorekan berus bereksperimen, palet warna garang dan peralatan tidak konvensional seperti pisau bedah serta pengikis, Ahmad Murad meneroka tekstur dan dimensi baharu.

    Tidak lagi terbatas pada penulisan akademik, Ahmad Murad kini menyalurkan imaginasinya ke galeri dan muzium kerana percaya seni memperluas sempadan ilmu dan beliau turut menekankan untuk memahami realiti bukan hanya melalui sains tetapi juga menerusi seni visual. – Bernama

    Profesor Datuk Dr Ahmad Murad Merican bergambar bersama karya lukisan Gunung Jerai beliau. – Bernama
    Lukisan kedua Gunung Jerai karya Profesor Datuk Dr Ahmad Murad Merican. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda