Friday, October 18, 2024
25.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Ahmad Syihan layak jadi nombor satu – Azmin Azram

    KUALA LUMPUR, 29 SEPT – Ahmad Syihan Hazmi Mohamed merupakan pilihan terbaik sebagai penjaga gol nombor satu skuad kebangsaan menjelang saingan Piala Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) 2022 bermula Disember ini dan Piala Asia 2023.

    Ia susulan persembahan cemerlang ditampilkan pemain Negeri Sembilan FC (NSFC) itu ketika menentang Thailand dan Tajikistan pada kejohanan Piala Raja Thailand di Chiang Mai baru-baru ini, untuk membantu skuad Harimau Malaya muncul sebagai naib juara.

    Bekas jurulatih penjaga gol skuad kebangsaan, Azmin Azram Abdul Aziz berkata pemain berusia 26 itu telah membalas kepercayaan yang diberikan Ketua Jurulatih Kim Pan Gon apabila mengawal gawang dengan amat baik sekali gus membuktikan kemampuan yang dimiliki.

    “Bagi saya ia satu persembahan yang baik, tiada masalah sikit pun terutama ketika lawan Thailand. Kalau kita tengok empat point-blank save yang dia buat, itu peranan sebenar penjaga gol di saat diperlukan dia cemerlang menyelamatkan keadaan.

    “Saya harap dia dapat meneruskan prestasi ini untuk jangka masa panjang memang buat masa ini dia adalah pilihan sesuai dan terbaik untuk pasukan kebangsaan,” katanya yang juga bekas penjaga gol utama negara ketika dihubungi Bernama di sini.

    Pada masa sama, Azmin Azram berkata beliau bukan mahu menidakkan kemampuan penjaga gol berpengalaman Johor Darul Ta’zim (JDT) Mohd Farizal Marlias yang lebih kerap menjadi pilihan di gawang negara sebelum ini.

    Katanya dari segi pengalaman aksi antarabangsa Mohd Farizal sememangnya memiliki pengalaman yang luas, namun dari aspek ketangkasan dan prestasi semasa Ahmad Syihan dilihat mengatasi mana-mana penjaga gol dalam negara. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda