Oleh Mohamad Asyramisyanie
BANDAR SERI BEGAWAN, 29 Okt – Ahmad Yani Haji Mohd Noor dinobatkan sebagai juara keseluruhan Kejohanan Golf Amal 2017 anjuran bersama Kelab Golf Pantai Mentiri dan Dewan Perniagaan Wanita Brunei, yang diadakan bersempena dengan sambutan Jubli Emas Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Menaiki Takhta 2017.
Ahmad Yani bermain cemerlang apabila berjaya meninggalkan saingan terdekatnya, Lai Suan Loong yang berada satu mata di belakang dan Suhaimi Haji Ibrahim di tempat ketiga, dalam kejohanan yang berlangsung di Kelab Golf Pantai Mentiri.
Memenangi bahagian Pukulan Nett keseluruhan adalah Qawim Haji Aslimon yang menerima saingan sengit daripada Pengiran Haji Ali Pengiran Haji Tuah, yang berada di tempat kedua dan tampil di tempat ketiga ialah Ishak Haji Manaf.


Muncul juara Divisyen A ialah Aritz Maldini, manakala Ali Yassin Haji Mohammad pula menjuarai Divisyen B, Haji Jafar Ali Haji Osman pula juara Divisyen C, sementara itu dalam Divisyen Wanita pula dimenangi oleh Agnes Hiu dan Pengiran Haji Kamaruzzaman pula mendominasi Divisyen Senior.
Ketika ditemui sejurus selepas penyampaian hadiah hari ini, Ahmad Yani menyatakan rasa bersyukur atas kejayaannya dan menambah bahawa cabaran terbesarnya adalah dari kalangan pemain muda yang ternyata mempunyai kelebihan fizikal namun baginya itu bukan halangan untuknya terus fokus.
Acara penyampaian hadiah kepada para pemenang disempurnakan oleh Menteri Kebudayaan,Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof, yang turut berkesempatan menyampaikan cek sumbangan kepada Yayasan Kanser Brunei Darussalam.