Wednesday, April 24, 2024
24.1 C
Brunei

    -

    AHTV berpotensi jadikan Malaysia hab pengeluar kenderaan elektrik

    TANJUNG MALIM, 12 APRIL – Pembangunan Automotive High-Tech Valley (AHTV) mampu menjadikan Malaysia, antara lainnya sebuah hab pengeluar kenderaan elektrik dan pembekal komponen, bukan sahaja ke pasaran ASEAN, bahkan ke pasaran yang lebih luas lagi.

    Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata pembangunan ini juga dilihat dapat menarik minat pelabur asing khususnya dari China dan negara lain kerana berpotensi memperkasakan ekosistem dunia automotif dalam satu kawasan yang besar.

    “Jika di negara lain seperti Amerika Syarikat boleh berbangga dengan Detroit, sebuah daerah yang terkenal dengan industri pembuatan keretanya, tidak mustahil satu hari nanti, Tanjung Malim akan dikenali sebagai hab permotoran yang hebat di rantau ini,” katanya dalam ucapan pelancaran AHTV di sini, hari ini.

    Selain itu, Perdana Menteri berkata Tanjung Malim bakal menyaksikan limpahan ekonomi daripada aktiviti projek pembangunan AHTV yang dijangka menjana peluang pekerjaan sebanyak 370,000 sepanjang pembinaan dan 160,000 apabila beroperasi kelak.

    “Pembangunan lain yang mempunyai rantaian ekonominya seperti Taman Perindustrian dan pembangunan hartanah bagi tujuan komersial secara keseluruhannya berpotensi menjana sebanyak RM32 bilion menjelang 2030,” katanya.

    Menurut Ismail Sabri, pembangunan AHTV telah dicadangkan lebih 10 tahun lalu bagi memantapkan operasi pengilangan PROTON dari Shah Alam, Selangor ke Tanjung Malim, supaya lebih berpusat dan mampu meningkatkan produktiviti.

    “Diharapkan pelancaran AHTV ini menjadi penanda aras kepada satu lagi pembangunan negara yang berimpak tinggi dan memacu kejayaan negara secara holistik.

    “Saya yakin dan percaya, dengan kemampuan DRB-HICOM dibantu penyelarasan bersama agensi kerajaan yang berkaitan serta dana yang disalurkan, ia mampu menjadi projek mega kawasan perindustrian automotif yang gah di rantau ini,” katanya. – Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sekumpulan gempa bumi gegarkan Taiwan

    TAIPEI, 23 APRIL - Sekumpulan gempa bumi melanda Taiwan pada awal hari ini, yang paling kuat mempunyai magnitud 6.1, menurut Kajian Geologi Amerika Syarikat...