LONDON, 27 JAN – Elton John memberi amaran bahawa kecerdasan buatan (AI) akan “terus mengurangkan dan mengancam pendapatan artis muda” ketika beliau menyokong kritikan Paul McCartney terhadap cadangan pembaharuan undang-undang hak cipta di United Kingdom (UK), lapor agensi berita Jerman (dpa).
Penggunaan bahan dengan hak cipta untuk melatih model AI kini menjadi subjek perundingan Kerajaan UK yang baru dilancarkan, bertujuan mengkaji cara artis boleh melesenkan dan memperoleh bayaran untuk penggunaan karya mereka, selain meningkatkan kepercayaan antara sektor kreatif dan AI.
John, 77, memberitahu The Sunday Times bahawa, “rancangan sedang diatur untuk membolehkan syarikat AI mengabaikan undang-undang hak cipta tradisional yang melindungi mata pencarian artis.”
“Ini akan membolehkan syarikat teknologi besar global mendapat akses percuma dan mudah kepada karya artis untuk melatih AI mereka serta menghasilkan muzik yang mampu bersaing,” katanya.
“Ini akan terus mengurangkan dan mengancam pendapatan artis muda. Komuniti pemuzik menolak sepenuhnya cadangan ini.”
Pemenang pelbagai anugerah dan penyokong artis muda itu turut menegaskan bahawa, “keadaan kewangan industri, termasuk kos penganjuran konsert yang semakin meningkat, menjadikan kehidupan artis baharu semakin sukar.”
“Tanpa perlindungan hak cipta yang kukuh, artis tidak dapat memperoleh pendapatan daripada karya mereka dan ini meletakkan kedudukan UK sebagai peneraju seni dan budaya popular dunia dalam keadaan bahaya yang serius,” katanya.
Kerajaan UK sedang mengkaji rancangan yang mungkin membolehkan syarikat AI menggunakan kandungan syarikat media, kecuali mereka memilih untuk menarik diri secara khusus.
Pada Ahad, penyanyi kumpulan Beatles, McCartney, turut tampil dalam program Sunday With Laura Kuenssberg di BBC One dan berkata: “Awda ada artis muda yang menulis lagu indah, tetapi mereka tidak memiliki hak terhadap karya itu, malah sesiapa sahaja boleh menciplaknya.”
“Faktanya, wang itu tetap mengalir ke suatu tempat. Jadi mengapa bukan kepada orang yang menulis lagu seperti Yesterday? (lagu popular Beatles).”
McCartney, 82, merayu kepada kerajaan UK supaya mempertimbangkan semula cadangan itu dan berkata: “Kami adalah rakyat, awda adalah kerajaan. Tugas awda melindungi kami. Jika awda meluluskan sesuatu rang undang-undang, pastikan awda melindungi pemikir dan artis kreatif, jika tidak, awda tidak akan memiliki mereka.”