Sabtu, 22 November 2025
28.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    AI bakal kenal pasti jenis alahan kulit awda

    Alahan kulit merupakan masalah biasa di seluruh dunia dan sering kali sukar dikenal pasti dengan tepat.

    Namun, teknologi baharu dijangka mampu mengubah situasi ini tidak lama lagi.

    Dr Alison Bruce, seorang pakar dermatologi di Mayo Clinic, sedang membantu membangunkan alat berkuasa kecerdasan buatan (AI) untuk menyokong ujian diagnostik alahan.

    Alat ini direka bagi membolehkan pesakit meletakkan sendiri ujian alahan pada kulit dan menggunakan telefon pintar untuk merakam imej dari semasa ke semasa, dengan bantuan teknologi yang boleh memberikan panduan kepada pakar kesihatan dalam proses diagnosis.

    Ini merupakan satu langkah yang positif ke arah penjagaan alahan kulit yang lebih cepat, mudah dan boleh diakses, terutamanya bagi mereka yang tinggal di kawasan luar bandar atau yang sukar mendapatkan rawatan pakar.

    Reaksi kulit mungkin muncul dengan pelbagai gejala, termasuk kemerahan, kegatalan dan bengkak. – Canva

    Kulit yang gatal. Tompok-tompok bengkak. Ruam merah yang menyakitkan. Alahan kulit menjejaskan hampir satu daripada lima orang.

    “Ia berlaku apabila sesuatu bahan menyentuh kulit dan menyebabkan tindak balas,” kata Dr Bruce.

    Awda mungkin terfikir tentang tumbuhan beracun seperti poison ivy yang boleh mencetuskan reaksi, tetapi barang kemas, minyak wangi, losen dan banyak lagi bahan lain juga boleh menyebabkan reaksi kulit yang dikenali sebagai dermatitis sentuhan.

    “Apa yang berlaku ialah kulit menjadi merah, gatal, mengelupas, bersisik dan jika terlalu teruk boleh merekah, menjadi sangat radang sehingga kulit rosak lalu timbul rekahan halus,” jelas Dr Bruce.

    Satu alat baharu sedang dibangunkan di Mayo Clinic bertujuan membantu pesakit dan pasukan perubatan mengenal pasti punca tindak balas tersebut.

    “Kami sedang membangunkan alat AI untuk membantu ujian alahan kulit kerana pada masa ini, jika awda atau doktor awda mengesyaki awda mengalami dermatitis sentuhan akibat alahan, kaedah ujian yang tersedia ialah melalui ujian diagnostik tampalan,” katanya.

    Namun, ujian ini boleh mengambil masa dan memerlukan pesakit berulang kali hadir ke klinik pakar dermatologi.

    “Idea di sebalik AI ini ialah untuk menambah baik apa yang sedang kami lakukan.

    “Bayangkan satu situasi di mana awda tidak perlu ke klinik pakar kulit, sebaliknya awda sendiri boleh meletakkan tampalan pada kulit, menanggalkannya pada waktu yang ditetapkan, kemudian menggunakan telefon dan kameranya untuk merakam tindak balas kulit.

    “Seterusnya, AI boleh mentafsirkan tindak balas tersebut seperti, ‘Ya, ada reaksi kemerahan yang sepadan dengan nikel, maka awda alah kepada nikel’,” jelas Dr Bruce.

    Beliau berkata alat baharu ini berpotensi meningkatkan kualiti hidup pesakit yang mengalami tindak balas alahan kulit dengan menjadikan proses diagnosis lebih mudah diakses dan lebih pantas.

    “Ia boleh dilakukan dari jauh. Ia boleh dilakukan melalui imejan, tafsiran AI dan sebagainya.

    “Ia benar-benar meluaskan capaian rawatan untuk mereka yang memerlukan tetapi tidak dapat hadir ke tempat seperti Mayo Clinic,” tambahnya. – ANN/The Star

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda