WASHINGTON – Selepas 18 tahun cuba mentafsirkan kod tingkah laku anak-anaknya, Christopher Moore, 54, biasanya boleh memahami apa yang diperlukan mereka. Tetapi seperti kebanyakan ibu bapa yang mempunyai anak autisme, dia tertanya-tanya siapa yang akan menggantikan tempatnya apabila dia sudah tiada.
Tiga daripada empat anaknya menghidap autisme. Dua merupakan autisme bukan lisan.
Semasa mereka membesar, selalunya sukar untuk mengetahui isyarat mereka – sama ada mereka lapar, sakit atau bosan. Terapi berbeza selama bertahun-tahun cuba merapatkan jurang itu tetapi tertumpu kepada kanak-kanak autisme yang menyesuaikan diri dengan gaya komunikasi biasa, kata Moore, yang tinggal di Louisiana, Amerika Syarikat.
Dalam kelas Universiti New Orleans (UNO) mengenai cara komputer belajar berkomunikasi dengan manusia – contohnya program seperti ChatGPT atau Gemini Google – Moore mengalami detik yang membuka mindanya.
“Baiklah, saya fikir kita telah ketinggalan,” kata Moore, yang sedang melanjutkan pengajian kedoktorannya dalam sains komputer selepas mengalami kecederaan semasa bekerja di luar pesisir dalam bidang minyak.
“Dan saya fikir AI (kecerdasan buatan) boleh membantu.”
Daripada perbualan awal tersebut, Moore dan pasukan penyelidik, termasuk profesor UNO Shreya Banerjee, Md Tamjidul Hoque dan Tracey Knaus, akan melancarkan projek yang menggunakan pembelajaran mesin untuk menganalisis corak tingkah laku kanak-kanak autisme, daripada pergerakan mata hingga gerak isyarat. Kerja mereka boleh memberi manfaat kepada beribu-ribu keluarga.
Hampir 70,000 orang dewasa di Louisiana menghidap autisme, menurut anggaran yang diterbitkan dalam Journal Of Autism And Developmental Disorders pada tahun 2020.
Tidak jelas berapa ramai kanak-kanak di Louisiana yang menghidap autisme, tetapi pakar mengatakan jumlah itu terus meningkat.
Lebih 5 peratus kanak-kanak, antara umur tiga dan 21 tahun yang menerima perkhidmatan pendidikan khas di Louisiana, telah didiagnosis dengan autisme pada 2015, lonjakan ketara berbanding 2000, apabila hanya satu peratus kanak-kanak yang mempunyai diagnosis itu.
“Autisme akan kekal atau diterima umum,” kata Lisa Settles, pengarah program dan ahli psikologi utama di Pusat Autisme dan Gangguan Berkaitan Tulane di Tulane, Louisiana.
“Ia menterjemahkan tingkah laku kanak-kanak itu kepada bahasa untuk ibu bapa atau penjaga,” kata Hoque.
Penyelidikan mereka dibiayai dengan geran daripada Jabatan Kesihatan Louisiana dan akan memberi tumpuan kepada kanak-kanak berumur dua hingga lima tahun.
MENCIPTA PANGKALAN DATA
Menyediakan program sedemikian akan menjadi rumit kerana tiada pangkalan data tingkah laku autisme. Moore menjangkakan bidang itu akan menjadi yang paling sukar.
“Saya cukup mengenali anak-anak saya,” kata Moore. “Tetapi setiap orang berbeza.”
Autisme adalah diagnosis yang amat rumit untuk dibuat disebabkan banyak keadaan berlainan yang boleh muncul pada individu yang terjejas.
“Ia terus meningkat dan meningkat setiap kali mereka melakukan kajian prevalens dan insiden.
Matlamatnya adalah untuk memberi ibu bapa dan penjaga kanak-kanak dengan autisme nasihat tentang apa yang anak mereka alami, jenis tingkah laku yang mungkin berlaku seterusnya dan bagaimana penjaga boleh membantu kanak-kanak itu, mengurangkan kekecewaan yang timbul kerana tidak dapat berkomunikasi keperluan mereka.
“Saya mungkin telah menilai lebih 3,000 kanak-kanak dalam kerjaya saya,” kata Settles. “Saya tidak pernah melihat dua yang kelihatan sama.”
Ramai orang merujuk kepada autisme sebagai spektrum. Settles sering menganggapnya sebagai papan campuran bunyi.
“Awda boleh menghasilkan berbilang lagu hanya dengan menggerakkan semua butang dan kekunci yang berbeza,” kata Settles. “Dan begitulah juga keadaan autisme.”
Keragaman atau pemboleh ubah adalah cabaran untuk kecerdasan buatan, yang bergantung pada mengenal pasti corak untuk menjana tindak balas. Projek UNO akan mengumpulkan gambar, video, audio dan tafsiran daripada ibu bapa, ahli terapi dan penjaga untuk membantu membina pangkalan data tingkah laku autisme.
MERAPATKAN JURANG
Ciri-ciri umum cabaran komunikasi dalam kalangan penghidap autisme berkait rapat dengan konsep yang dipanggil ‘teori minda,’ kata Settles.
Orang yang mempunyai autisme cenderung menghadapi masalah dengan keupayaan untuk memahami bahawa orang lain mempunyai pemikiran, perasaan, emosi, motivasi, perspektif yang berbeza.
“Banyak komunikasi menemui kegagalan adalah kerana terdapatnya jangkaan, disebabkan oleh kognisi yang salah, bahawa awda harus tahu apa yang saya perlukan,” kata Settles.
Di situlah Moore membayangkan aplikasi boleh membantu merapatkan jurang komunikasi.
Dia membayangkan masa depan di mana seorang pengasuh yang bergelut dan letih boleh mengeluarkan telefon mereka, merakam gambar atau video dan mendapatkan pandangan tentang tingkah laku itu.
Settles memberi amaran bahawa ibu bapa dan penjaga masih harus berusaha untuk mempelajari isyarat anak mereka dan berkomunikasi dengan mereka tanpa menggunakan teknologi – tetapi berkata alat sedemikian mungkin amat berguna apabila penghidap autisme cuba berkomunikasi dengan penguat kuasa undang-undang atau dalam persekitaran lain.
“Saya telah menjadi pakar dalam beberapa kes di mana individu telah cedera dengan teruk, di rumah kumpulan dan persekitaran hospital psikiatri kerana mereka tidak dapat berkomunikasi,” kata Settles.
Bagi Moore, ini adalah jaminan bahawa apabila dia sudah tiada, seseorang akan dapat memahami interaksi yang telah diselidikinya selama beberapa dekad.
“Autisme hanyalah bahasa lain. Ia adalah bahasa yang belum kami ketahui,” terang Moore. – ANN/The Star