COSTA RICA – Monyet laba-laba Geoffrey, spesies terancam yang sukar dijejak, kini dipantau menggunakan teknologi inovatif. Ahli biologi Jenna Lawson memasang 350 peranti pemantauan audio di hutan hujan Semenanjung Osa, Costa Rica, untuk mengesan kehadiran dan pergerakan spesies berkenaan.
Peranti tersebut merekodkan bunyi hutan dan kawasan sekitarnya selama seminggu, menghasilkan data dalam jumlah besar yang mengambil masa bertahun-tahun untuk dianalisis.
Namun, dengan bantuan kecerdasan buatan (AI), sistem itu dapat mengenal pasti panggilan monyet laba-laba secara serta-merta dan memetakan laluan pergerakan haiwan berkenaan.
Kajian Lawson, bermula pada 2021, merupakan salah satu projek pemantauan akustik terbesar di dunia. Kajian tersebut mendedahkan cabaran serius terhadap kesihatan kawasan perlindungan biodiversiti di Costa Rica.
Menurut artikel dalam jurnal Science, kira-kira 28 peratus spesies tumbuhan dan haiwan kini berisiko pupus, menjadikan teknologi pemantauan seperti ini amat diperlukan.
TEKNOLOGI AI KUASA SOLAR
Microsoft, melalui inisiatif AI for Good Lab, memperkenalkan teknologi Sparrow, sistem pemantauan akustik berkuasa solar yang mampu beroperasi selama bertahun-tahun tanpa campur tangan manusia. Data yang direkodkan dihantar secara berkala menggunakan satelit orbit rendah.
Sistem itu akan diuji di kawasan perlindungan hutan di Colombia berhampiran Sungai Magdalena, dengan harapan dapat memahami kesan penebangan hutan terhadap spesies terancam seperti harimau kumbang, burung paujil berparuh biru dan monyet laba-laba.
Menjelang akhir 2025, Microsoft merancang untuk memasang peranti itu di semua benua, termasuk kawasan hutan Amazon dan habitat gorila di Republik Demokratik Congo. Data tersebut akan tersedia untuk penyelidik global, namun dengan langkah perlindungan untuk menyembunyikan lokasi sensitif bagi mengelakkan aktiviti pemburuan haram.
PEMANTAUAN MONYET LABA-LABA DI COSTA RICA
Kajian Lawson menumpukan pada ancaman terhadap habitat monyet laba-laba di Costa Rica. Dengan menggunakan peranti audio, Lawson dapat mengenal pasti panggilan unik spesies itu tanpa mengganggu tingkah laku semula jadinya.
“Peranti ini membolehkan kami mengurangkan gangguan terhadap tingkah laku haiwan sambil memahami habitatnya dengan lebih baik,” katanya.
Hasil kajian mendapati monyet laba-laba mengelak kawasan berhampiran jalan berturap dan ladang kelapa sawit, menunjukkan kelemahan dalam koridor hidupan liar yang bertujuan menghubungkan kawasan perlindungan biodiversiti. Lawson membentangkan penemuan tersebut kepada pihak berkuasa tempatan untuk memperbaiki strategi pemuliharaan.
MANFAAT TEKNOLOGI PEMANTAUAN AKUSTIK
Kajian dalam Science menunjukkan pemantauan akustik bermanfaat bukan sahaja di hutan hujan tetapi juga dalam pelbagai ekosistem lain, seperti membantu kapal mengelak perlanggaran dengan ikan paus.
Namun, cabaran teknikal seperti kelembapan tinggi yang boleh merosakkan peranti dan haiwan besar seperti gajah yang secara tidak sengaja merosakkan alat pemantauan masih perlu diatasi.
“Melalui teknologi ini, kami dapat mengkaji kawasan lebih luas dengan kos lebih rendah dan mengurangkan gangguan terhadap habitat haiwan,” kata Lawson.
“Lagipun, haiwan-haiwan ini tidak mahukan kita berada di sini,” tambahnya. – AP