Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 21 JULAI – Kecerdasan buatan (AI) kini telah menjadi bahagian penting dalam bilik darjah, kerja-kerja penyelidikan dan kehidupan seharian kita.
Di Universiti Teknologi Brunei (UTB), AI dilihat sebagai satu alat untuk meningkatkan pembelajaran, pendidikan khusus serta menyokong pendidik dalam menyampaikan hasil pembelajaran yang lebih baik bagi para pelajar.
AI dapat memudahkan pengalaman pembelajaran khusus, memberikan maklum balas segera, menyokong pendidikan inklusif bagi pelajar yang mempunyai keperluan berbeza, membantu dalam pembelajaran dan penilaian bahasa serta mengautomasikan tugas pentadbiran untuk memberikan lebih banyak masa kepada pengajaran.
Di samping itu, AI juga telah membuka peluang baharu bagi pembelajaran kolaboratif, pembuatan keputusan berpandukan data serta peluang pembelajaran sepanjang hayat, jelas Penolong Naib-Canselor (Hubungan Industri dan Luar), UTB, Dr Mohamad Saiful bin Haji Omar dalam ucapan alu-aluannya semasa Super Museum AI Summit yang berlangsung di Kompleks Perpustakaan UTB, hari ini.
Beliau menyatakan AI boleh mentakrifkan semula cara penyelidikan dijalankan di mana ia boleh membantu kita menganalisis set data yang besar, mengenal pasti corak, meringkaskan literatur akademik serta menjana idea penyelidikan.





“Alat yang dikuasakan oleh AI boleh membantu dalam menulis, menyemak dan memperhalusi manuskrip, menjadikan proses penyelidikan lebih cekap dan mudah diakses.
“Ini membolehkan penyelidik menumpukan lebih kepada pemikiran kritis dan inovasi, manakala AI mengendalikan tugasan yang berulang dan memakan masa,” tambah Dr Mohamad Saiful.
Dalam mengiktiraf kesan mendalam AI, ulasnya lagi, UTB telah memperkenalkan garis panduan akademik yang mengawal penggunaan AI secara beretika dan bertanggungjawab dalam pengajaran, pembelajaran dan penilaian.
Panduan itu menetapkan cara aktiviti berkenaan mengambil kira penggunaan AI generatif oleh pelajar, dengan tujuan untuk memelihara integriti akademik dan jaminan kualiti program UTB.
“Langkah-langkah ini memastikan komuniti akademik kita kekal di barisan hadapan dalam inovasi sambil menegakkan integriti dan piawaian etika,” tegas Dr Mohamad Saiful.
Sementara menerima potensi positif evolusi teknologi itu, beliau menekankan adalah penting untuk menangani pembangunan dan pelaksanaan AI dengan teliti dan bertanggungjawab.
“Dengan pengawasan yang teliti, AI boleh menjadi alat berkuasa yang menyokong dan mengukuhkan kebolehan kognitif kita dan membantu kita membuat pilihan yang lebih termaklum selaras dengan nilai dan kepercayaan kita.”
Terdahulu, Duta Amerika Syarikat ke Negara Brunei Darussalam, Puan Yang Terutama Caryn R. McClelland dalam ucapan alu-aluannya menyatakan Super Museum AI Summit meraikan inovasi, kolaborasi dan kuasa transformatif teknologi baru muncul.
Di samping itu, beliau berkata penandatanganan memorandum persefahaman antara Universiti George Mason dan UTB menandakan mercu tanda penting yang mengukuhkan pertukaran akademik dan kolaborasi penyelidikan serta membantu dalam membentuk pemimpin teknologi bertanggungjawab generasi akan datang.

