BERLIN, 26 OKT – Teknologi kecerdasan buatan (AI) mendorong pertumbuhan sektor teknologi undang-undang di Jerman, dengan kira-kira 300 syarikat kini menawarkan perkhidmatan undang-undang automatik, menurut Persatuan Teknologi Undang-undang Jerman.
Kira-kira satu pertiga daripada syarikat berkenaan menyasarkan pengguna secara langsung, menawarkan bantuan pantas dan mampu milik bagi menangani isu undang-undang harian, lapor agensi berita Jerman dpa.
Syarikat seperti Flightright dan Conny mengendalikan tuntutan terhadap syarikat penerbangan, insurans atau tuan tanah, manakala syarikat lain menghubungkan pengguna kepada pengamal undang-undang profesional yang sesuai secara dalam talian.
Ramai antara mereka menggunakan AI untuk mempercepat proses dan mengurangkan kos, malah hanya mengenakan bayaran apabila pelanggan menerima pampasan.
Pengerusi Persatuan Teknologi Undang-undang, Alisha Andert berkata perkhidmatan digital dapat menjadikan undang-undang lebih mudah diakses dan meningkatkan keyakinan terhadap sistem kehakiman. – Bernama


