Sabtu, 22 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    AI jadi kuasa transformatif optimumkan pengurusan pendidikan

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 9 OKT – Kecerdasan Buatan (AI) merupakan sebuah alat yang dapat dimanfaatkan bagi meningkatkan keberkesanan pembelajaran sambil memulihara pedagogi berpusatkan insan.

    AI mampu menjadi sebuah kuasa transformatif dalam pendidikan dan masyarakat di mana ia membolehkan pembelajaran khusus, meningkatkan penglibatan serta mengoptimumkan pengurusan sekolah.

    Perkara itu antara diketengahkan oleh Timbalan Rektor dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Professor Dato’ Dr Mohamad Fauzan dalam ucaptama bertajuk, Artificial Intelligence in Islamic Education / Malaysia Madani semasa Hari Kedua Persidangan Hari Guru sempena Sambutan Hari Guru Negara Brunei Darussalam Ke-35, Tahun 2025 yang berlangsung hari ini di Dewan Canselor, Universiti Brunei Darussalam.

    Hadir selaku tetamu kehormat pada sesi pembentangan ucaptama berkenaan ialah Setiausaha Tetap (Pendidikan Teras), Kementerian Pendidikan, Dr Shamsiah Zuraini Kanchanawati binti Haji Tajuddin.

    Dr Shamsiah Zuraini Kanchanawati menghadiri hari kedua persidangan berkenaan.

    Dalam ucaptama berkenaan, Profesor Dato’ Dr Mohamad Fauzan meneroka integrasi AI dalam pendidikan Islam berteraskan nilai dan menyatakan ia mampu untuk membantu mempersiapkan pelajar untuk masa depan dengan menggalakkan pembangunan kemahiran, pemikiran kritis dan reflektif serta inovasi dan pembelajaran sepanjang hayat.

    Profesor Dato’ Dr Mohamad Fauzan menyampaikan ucaptama pada persidangan berkenaan.

    Pada masa yang sama, integrasi ini juga sejajarkan pendudukan dengan pasaran kerja masa depan dan keperluan masyarakat.

    Bagi pendidik, AI bertindak sebagai peralatan sokongan dan bukannya sebagai pengganti bagi pendidik dengan cara memperkasakan mereka dengan membantu tugasan berulang menjadi automatik seperti penggredan dan mengambil kedatangan serta memberikan guru lebih masa untuk mengajar, memudahkan pemikiran kritis dan pembangunan holistik pelajar.

    Persidangan diteruskan dengan sesi perbincangan dalam Learning Circle, diikuti dengan 70 pembentangan kertas penyelidikan selari, 10 bengkel interaktif dan 10 pameran poster digital (e-poster).

    Persidangan Hari Guru dianjurkan oleh Kementerian Pendidikan dan Kementerian Hal Ehwal Ugama melalui Jabatan Pengurusan Pendidik, dengan kerjasama Institut Pendidikan Sultan Hassanal Bolkiah (IPSHB) dan Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB).

    Hasil persidangan tahun ini diharapkan dapat memperkasakan guru-guru sebagai pemangkin perubahan, selari dengan usaha ke arah transformasi pendidikan yang berteraskan nilai dan berpusatkan insan (human-centric) di Negara Brunei Darussalam.

    Semua di atas: Antara yang hadir ke persidangan berkenaan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda