Saturday, November 30, 2024
23.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    AI mampu perkasa perkhidmatan agama

    Oleh Yusrin Junaidi –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 5 NOV – Mesyuarat Pegawai-pegawai Kanan (SOM) kali ke-48 bagi MABIMS telah diadakan petang tadi bertempat di Indera Samudera, The Empire Brunei.

    Mesyuarat yang bertemakan Memelihara Akal Dalam Maqasid Syariah: Bagaimana Belia Islam Dapat Membantu dipengerusikan oleh Setiausaha Tetap di Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Haji Mohammad Rosli bin Haji Ibrahim, selaku Ketua SOM Negara Brunei Darussalam.

    Mesyuarat dimulakan dengan ucapan sambutan daripada ketua delegasi Negara Brunei Darussalam selaku tuan rumah, diikuti dengan ketua delegasi Republik Indonesia, Malaysia dan Republik Singapura.

    Dalam ucapan sambutan, Haji Mohammad Rosli, antara lain menekankan pentingnya penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam konteks perkhidmatan agama.

    Beliau menyatakan bahawa teknologi tersebut dapat menjadi satu pendekatan yang inovatif untuk memperkasakan perkhidmatan agama, dengan meningkatkan penglibatan dan jangkauan orang awam.

    Haji Mohammad Rosli semasa mempengerusikan mesyuarat tersebut. – GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI
    Antara yang menghadiri mesyuarat berkenaan. – GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI

    Menurutnya lagi, penggunaan AI boleh membantu dalam pelbagai aspek termasuk memperkukuhkan sistem zakat dan wakaf, pendidikan ugama, serta pemerkasaan belia. Dengan semangat ini, adalah diharapkan agar wacana MABIMS dapat membuka ruang untuk perbincangan lanjut mengenai cara-cara untuk mengintegrasikan teknologi dalam memperbaiki perkhidmatan dan memberi manfaat kepadan masyarakat.

    Mesyuarat petang tadi turut membincangkan Laporan Pelaksanaan Fokus Strategik di bawah Rancangan Strategik MABIMS 2026– 2030.

    Negara penyelaras telah membentangkan fokus strategik Potensi Belia oleh Negara Brunei Darussalam, manakala Republik Indonesia membentangkan Pendidikan dan Penghayatan Beragama, sementara Malaysia membentangkan Kesejahteraan Sosial, dan Keharmonian Serantau dibentangkan oleh Republik Singapura.

    Mesyuarat SOM ke-48 diharap dapat menghasilkan kerjasama yang lebih erat antara negara-negara anggota MABIMS, memperkukuh hubungan serta mencipta inisiatif yang memberi impak positif kepada masyarakat di rantau MABIMS.

    Turut hadir di mesyuarat tersebut ialah Setiausaha Agung, Kementerian Agama Republik Indonesia, Profesor Dr Muhammad Ali Ramdhani, selaku Ketua SOM Republik Indonesia; Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Dr Mohamad Kori bin Jusoh, selaku wakil Ketua SOM Negara Malaysia dan ketua delegasi berserta delegasi dari Malaysia; dan Ketua Eksekutif, Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS), Kadir Maideen, selaku Ketua SOM Republik Singapura berserta delegasi dari Republik Singapura.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda