Ahad, 23 November 2025
Klik Lagi

    AI masa depan pertanian Afrika

    MULANJE – Alex Maere terselamat daripada bencana Taufan Freddy yang membadai selatan Malawi pada 2023. Namun malangnya ladangnya tidak dapat diselamatkan.

    Lelaki berusia 59 tahun itu menyaksikan hasil usaha berdekad-dekad lamanya hilang bersama tanah subur yang dihanyutkan banjir dari ladang kecilnya di kaki Gunung Mulanje.

    Taufan Freddy mendorong Maere untuk bertindak. Dia membuat keputusan bahawa dia perlu mengubah strategi lamanya jika dia ingin terus hidup.

    Beliau kini merupakan salah seorang daripada beribu-ribu petani berskala kecil di negara Afrika selatan menggunakan chatbot kecerdasan buatan (AI) generatif yang direka oleh kumpulan bukan raih keuntungan, Opportunity International, yang khusus untuk memberikan nasihat mengenai pertanian.

    AI CADANG PENANAMAN KENTANG

    Kerajaan Malawi menyokong projek itu, setelah menyaksikan negara yang bergantung kepada pertanian itu dilanda siri taufan dan kemarau berpunca daripada El Nino baru-baru ini. Krisis makanan di Malawi, yang sebahagian besarnya berpunca daripada perjuangan petani berskala kecil, adalah isu utama untuk pilihan raya kebangsaan minggu depan.

    Seorang petani menggunakan chatbot AI Ulangizi di Mulanje, selatan Malawi. – AP
    Gambar menunjukkan ladang di Mulanje, selatan Malawi. – AP
    Gambar menunjukkan petani memegang tanah yang terdapat di ladang di Mulanje, selatan Malawi. – AP
    Para petani mengadakan mesyuarat di Mulanje, selatan Malawi. – AP
    Maere (kanan) menggunakan chatbot Ulangizi AI dengan rakan petani di Mulanje, selatan Malawi. – AP

    Lebih 80 peratus daripada 21 juta penduduk Malawi bergantung kepada pertanian untuk mata pencarian mereka dan negara itu mempunyai salah satu kadar kemiskinan tertinggi di dunia, menurut Bank Dunia.

    Chatbot AI mencadangkan Maere menanam kentang tahun lepas bersama jagung ruji dan ubi kayu untuk menyesuaikan diri dengan tanahnya yang telah berubah. Dia mengikut arahan teks pada aplikasi itu dan mengusahakan kentang bersamaan saiz separuh padang bola sepak dan memperoleh lebih daripada AS$800 dalam jualan, sekali gus mengubah nasibnya dan anak-anaknya.

    “Saya berjaya membayar yuran sekolah mereka tanpa berasa bimbang,” katanya.

    PERTANIAN DAN AFRIKA

    AI mempunyai potensi untuk meningkatkan pertanian di sub-Sahara Afrika, di mana dianggarkan 33 hingga 50 juta ladang petani kecil seperti Maere menghasilkan sehingga 70 hingga 80 peratus daripada bekalan makanan, menurut Tabung Antarabangsa untuk Pembangunan Pertanian Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu. Namun produktiviti di Afrika, dengan populasi dunia yang berkembang pesat untuk disara, masih ketinggalan walaupun terdapat kawasan pertanian yang luas.

    Memandangkan penggunaan AI meningkat di seluruh dunia, ia membantu petani Afrika mengakses maklumat baharu untuk mengenal pasti penyakit tanaman, meramalkan kemarau, mencipta baja untuk meningkatkan hasil, malah mencari traktor mampu milik.

    Pelaburan swasta dalam teknologi berkaitan pertanian di sub-Sahara Afrika meningkat daripada AS$10 juta pada 2014 kepada AS$600 juta pada 2022, menurut Bank Dunia.

    CABARAN

    Afrika mempunyai ratusan bahasa bagi alat AI untuk dipelajari petani. Walaupun begitu, hanya terdapat sebilangan kecil petani yang mempunyai telefon pintar dan ramai yang tidak boleh membaca. Elektrik dan perkhidmatan Internet tidak begitu baik di kawasan luar bandar.

    “Salah satu cabaran terbesar untuk penggunaan AI yang mampan dalam pertanian Afrika ialah kebolehcapaian,” kata pakar teknologi Malawi, Daniel Mvalo. “Banyak alat gagal mengambil kira kepelbagaian bahasa, literasi rendah dan infrastruktur digital yang lemah,” tambahnya.

    APLIKASI ULANGIZI

    Alat AI di Malawi dipanggil Ulangizi, yang bermaksud penasihat dalam bahasa Chichewa di negara itu. Ia berasaskan WhatsApp dan berfungsi dalam bahasa Chichewa dan Inggeris.

    Awda boleh menaip atau bertanyakan soalan dan ia membalas dengan respons audio atau teks, kata pengarah negara Opportunity International untuk Malawi, Richard Chongo.

    “Jika awda tidak boleh membaca atau menulis, awda boleh mengambil gambar penyakit tanaman dan bertanya, ‘Apakah ini?’ Dan aplikasi akan memberi respons,” katanya.

    Namun untuk bekerja di Malawi, AI masih memerlukan sentuhan manusia. Untuk kawasan Maere, ia adalah tugas Patrick Napanja, 33, seorang ejen sokongan petani yang menyediakan telefon pintar dengan aplikasi untuk mereka yang tidak mempunyai peranti. Chongo menggelarnya sebagai manusia yang pakar berkaitan sistem AI.

    “Saya pernah bergelut untuk memberikan jawapan kepada beberapa cabaran pertanian, kini saya menggunakan aplikasinya,” katanya.

    Ejen sokongan petani seperti Napanja biasanya mempunyai kira-kira 150 hingga 200 petani untuk membantu dan cuba melawat mereka sekali seminggu. Tetapi, kebanyakan mesyuarat selama sejam mengambil masa bagi menunggu maklum balas yang diberikan kerana ketersambungan yang lemah di kawasan itu, katanya. Kadangkala mereka perlu mendaki bukit berhampiran untuk mendapatkan isyarat.

    KURANG YAKIN

    Bagi petani Afrika yang hidup dalam kemiskinan, kesan nasihat buruk atau ‘halusinasi’ AI boleh menjadi jauh lebih dahsyat daripada mereka yang menggunakannya untuk mengatur e-mel mereka atau menyusun pembentangan kerja.

    Pakar teknologi, Mvalo memberi amaran bahawa nasihat AI yang tidak tepat seperti chatbot yang salah mengenal pasti penyakit tanaman boleh membawa kepada kerosakan tanaman serta menjejaskan mata pencarian petani.

    “Keyakinan terhadap AI tidak kukuh,” katanya. “Jika ia gagal sekali pun, ramai petani mungkin tidak akan mencubanya lagi.”

    Kerajaan Malawi telah melabur dalam Ulangizi dan ia diprogramkan supaya sejajar dengan nasihat pertanian rasmi Kementerian Pertanian itu sendiri, menjadikannya lebih relevan untuk rakyat Malawi, kata Pegawai Metodologi Pengembangan Pertanian di kementerian itu, Webster Jassi. – AP

    Kata Kunci

    Popular

    Nasional

    RC berjaya kumpul 105 pain darah

    Projek naik taraf bekalan elektrik di Samarahan siap 2028 – Abang...

    Susyi Jepun cipta rekod Guinness tuna terbesar

    Berita Berkaitan

    RC berjaya kumpul 105 pain darah

    Oleh Sim Y. H. -  BANDAR SERI BEGAWAN, 23 NOV...

    Tang Jie-Ee Wei rangkul juara Terbuka Australia

    KUALA LUMPUR, 23 NOV – Beregu campuran utama Malaysia,...

    Berangkat hadir Majlis Penutupan Rasmi ISG6

    Oleh Sim Y. H - BANDAR SERI BEGAWAN, 23 NOV...

    Sisa makanan jadi bahan utama kebun komuniti lestari

    Oleh Soon Li Wei KUALA LUMPUR, 23 NOV - Di tengah-tengah hiruk...

    Terkini

    RC berjaya kumpul 105 pain darah

    Oleh Sim Y. H. -  BANDAR SERI BEGAWAN, 23 NOV...

    Projek naik taraf bekalan elektrik di Samarahan siap 2028 – Abang...

    KUCHING, 23 NOV - Projek naik taraf bekalan elektrik...

    Susyi Jepun cipta rekod Guinness tuna terbesar

    CHIBA, 23 NOV - Rangkaian restoran susyi Jepun Choushimaru...

    AS catat kematian kedua akibat virus selesema burung

    WASHINGTON, 23 NOV – Seorang penduduk negeri Washington meninggal...