Wednesday, March 19, 2025
25.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    AI mengalakkan jenayah terancang – EU

    THE HAGUE, 19 MAC – Agensi penguatkuasaan undang-undang Kesatuan Eropah (EU) hari ini memberi amaran bahawa kecerdasan buatan (AI) sedang menggalakkan jenayah terancang yang menghakis asas masyarakat di seluruh blok 27 negara berkenaan.

    Amaran bahaya itu diberi semasa pelancaran edisi terbaru laporan mengenai jenayah terancang yang diterbitkan setiap empat tahun oleh Europol.

    Laporan berkenaan disusun menggunakan data daripada polis di seluruh EU dan akan membantu membentuk dasar penguatkuasaan undang-undang di blok itu pada tahun-tahun akan datang.

    “Jenayah siber sedang berevolusi menjadi senjata digital yang menyasarkan kerajaan, perniagaan dan individu. Serangan yang didorong oleh AI menjadi lebih tepat dan lebih bahaya,” kata Pengarah Eksekutif Europol, Catherine De Bolle.

    Pengarah Eksekutif Europol, Catherine De Bolle semasa berucap pada sidang media di Brussels pada April 2024. – Gambar fail AP 

    “Sesetengah serangan menunjukkan gabungan motif keuntungan dan ketidakstabilan, kerana ia semakin sejajar dengan pentadbiran negara dan bermotifkan ideologi,” tambahnya.

    Laporan yang bertajuk Penilaian Ancaman Jenayah Serius dan Tersusun EU 2025, merangkumi kesalahan termasuk pengedaran dadah kepada penyeludupan orang, pengubahan wang haram, serangan siber dan penipuan dalam talian menjejaskan masyarakat dan kedaulatan undang-undang, “dengan menjana hasil haram, menyebarkan keganasan dan menormalkan rasuah.”

    Jumlah bahan penderaan seksual kanak-kanak yang tersedia dalam talian telah pun meningkat kerana AI, menjadikannya semakin sukar untuk menganalisis imejan dan mengenal pasti pesalah, tambah laporan itu.

    “Dengan mencipta media sintetik yang kelihatan sangat realistik, penjenayah dapat memperdaya mangsa, menyamar sebagai individu dan memburukkan atau melakukan peras ugut.

    “Ditambah dengan klon suara dikuasakan AI dan video deepfake menguatkan ancaman, membolehkan bentuk penipuan, peras ugut dan kecurian identiti yang baharu,” katanya.

    Timbalan Setiausaha Negara Kementerian Dalam Negeri Poland, Maciej Duszczyk memetik serangan siber ke atas hospital baru-baru ini sebagai contoh terbaru di negaranya.

    “Malangnya hospital berkenaan terpaksa menghentikan aktivitinya selama berjam-jam akibat serangan siber yang serius dirangsang oleh AI,” katanya.

    Semasa Suruhanjaya Eropah bersedia untuk melancarkan dasar keselamatan dalaman yang baharu berkenaan, De Bolle menegaskan negara-negara di Eropah perlu menangani ancaman itu dengan segera.

    “Kami mesti menerapkan keselamatan dalam semua yang kami lakukan,” kata Pesuruhjaya Eropah bagi Hal Ehwal Dalam Negeri dan Migrasi, Magnus Brunner. Beliau menambah bahawa EU menyasarkan untuk menyediakan dana yang mencukupi pada tahun-tahun akan datang untuk menggandakan kakitangan Europol. – AP

    Ibu pejabat Europol agensi polis Eropah di The Hague, Belanda pada Disember 2016. – Gambar fail AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda