Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    AI mungkin ganti 80% pekerjaan

    RIO DE JANEIRO, 9 MEI – Kecerdasan buatan (AI) diunjurkan berupaya menggantikan 80 peratus pekerjaan manusia dalam tempoh beberapa tahun akan datang.

    Penyelidik, Ben Goertzel, 56, yang juga pakar AI terkemuka, berkata Kecerdasan Am Buatan (AGI) akan muncul beberapa tahun lagi dan menegaskan beliau menentang sebarang usaha untuk membendung penyelidikan AI.

    Katanya, beliau yakin AI dengan kepintaran manusia dapat dizahirkan dalam tempoh beberapa tahun akan datang, namun perlu penyelidikan yang lebih mendalam.

    “Saya tidak fikir kita harus menghentikan penyelidikan AI kerana sistem AI ini sangat menarik, tetapi tidak mampu menjadi seperti kecerdasan am peringkat manusia kerana ia tidak boleh melakukan pemikiran rumit pelbagai peringkat, seperti yang awda perlu lakukan dalam sains.

    “Ia tidak boleh mencipta perkara baharu di luar skop data latihannya, tetapi AI juga boleh menyebarkan maklumat yang salah, menyebabkan orang ramai menggesa pembangunannya dihentikan.

    “Dalam pada itu, mengapa pula kita tidak mengharamkan internet yang memberi banyak maklumat di hujung jari dan turut menyebarkan maklumat salah,” katanya dalam persidangan teknologi tahunan terbesar di dunia, Web Summit di Rio de Janeiro.

    Beliau yang juga ahli matematik, saintis kognitif dan pencipta robot terkenal, berkata sekiranya AI dilaksanakan, ia tidak dilihat sebagai satu ancaman kepada manusia, sebaliknya satu faedah.

    “Awda juga mungkin boleh kehilangan 80 peratus pekerjaan, tanpa AGI. Apa pun sistem ini tetap akan muncul dalam tempoh beberapa tahun akan datang mengikut ramalan saya.” – AFP

    Ben Goertzel semasa berucap pada sidang teknologi Web Summit di Rio de Janeiro. -AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda