GYEONGJU, REPUBLIK KOREA, 2 NOV – Kecerdasan buatan (AI) merupakan pemacu utama pembangunan masa depan, selaras dengan Pelan Transformasi Digital Negara Brunei Darussalam dan visi negara pintar.
Industri budaya dan kreatif adalah pemangkin inovasi dan peluang ekonomi, oleh itu sokongan inklusif melalui akses kepada kewangan, pembangunan kapasiti, perlindungan harta intelek dan hubungan pasaran global dapat membantu mengubah potensi mereka kepada nilai ekonomi yang ketara.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam menekankan perkara tersebut semasa berkenan mengurniakan titah ketika berangkat menghadiri Retreat Pemimpin-pemimpin Ekonomi APEC (Sesi 2) yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Gyeongju Hwabaek (HICO), Gyeongju, Republik Korea.
Berangkat mengiringi Kebawah Duli Yang Maha Mulia ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen.
Baginda menzahirkan sokongan terhadap inisiatif dan kerjasama APEC yang meningkatkan kreativiti dan kemahiran, membina kapasiti digital, dan menggalakkan inovasi AI yang bertanggungjawab.








Dalam mengakhiri titah, Kebawah Duli Yang Maha Mulia mengucapkan tahniah kepada Republik Korea atas kepimpinan APEC pada tahun 2025 dan Malaysia di atas kepengerusian ASEAN. Baginda juga menzahirkan keyakinan terhadap Republik Rakyat China di atas kepengerusian APEC pada tahun 2026.
Pada penghujung sesi tersebut Presiden Republik Korea, Tuan Yang Terutama Lee Jae-myung, menyerahkan tanggungjawab sebagai Pengerusi Mesyuarat Pemimpin Ekonomi APEC (AELM) kepada Presiden Republik Rakyat China, TYT Xi Jinping, selaku tuan rumah APEC bagi tahun 2026.
MAJLIS SANTAP MALAM GALA
Sementara itu, Kebawah Duli Yang Maha Mulia semalam berkenan berangkat ke Majlis Santap Malam Gala bagi meraikan pemimpin-pemimpin ekonomi APEC yang diadakan di Lahan Select Gyeongju.
Berangkat mengiringi Kebawah Duli Yang Maha Mulia ialah DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen.
Sejurus keberangkatan tiba di Lahan Select Gyeongju, Kebawah Duli Yang Maha Mulia dijunjung oleh TYT Lee Jae-myung dan isteri, Kim Hye-kyung.
Majlis tersebut juga diserikan dengan persembahan kebudayaan.
BERANGKAT BALIK
Setelah selesai menghadiri AELM di Gyeongju, Kebawah Duli Yang Maha Mulia pada sebelah petang berangkat balik meninggalkan Republik Korea.
Berangkat mengiringi Kebawah Duli Yang Maha Mulia ialah DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen.
Sebelum berangkat balik, Doa Selamat dibacakan oleh Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned.
Dengan tema Building a Sustainable Tomorrow: Connect, Innovate, Prosper perbincangan semasa AELM tertumpu kepada mengukuhkan daya tahan ekonomi dan sosial di rantau Asia Pasifik di tengah-tengah ketidaktentuan global.
Ini termasuk kerjasama antara sektor awam dan swasta, perkembangan AI yang pesat dan memupuk industri kreatif.

