Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 9 OKT – Kecerdasan buatan (AI) merupakan satu alat yang dapat dimanfaatkan bagi meningkatkan keberkesanan pembelajaran sambil memulihara pedagogi berpusatkan insan.
AI mampu menjadi sebuah kuasa transformatif dalam pendidikan dan masyarakat di mana ia membolehkan pembelajaran khusus, meningkatkan penglibatan serta mengoptimumkan pengurusan sekolah.
Perkara itu antara diketengahkan oleh Timbalan Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Profesor Dato’ Dr Mohamad Fauzan dalam ucaptama bertajuk, Artificial Intelligence in Islamic Education/ Malaysia Madani semasa Hari Kedua Persidangan Hari Guru sempena Sambutan Hari Guru Negara Brunei Darussalam ke-35, Tahun 2025 yang berlangsung di Dewan Canselor, Universiti Brunei Darussalam, hari ini.
Hadir selaku tetamu kehormat pada sesi pembentangan ucaptama berkenaan ialah Setiausaha Tetap (Pendidikan Teras), Kementerian Pendidikan, Dr Shamsiah Zuraini Kanchanawati binti Haji Tajuddin.
Dalam ucaptama berkenaan, Profesor Dato’ Dr Mohamad Fauzan meneroka integrasi AI dalam pendidikan Islam berteraskan nilai. Beliau menyatakan ia mampu untuk membantu mempersiapkan pelajar untuk masa depan dengan menggalakkan pembangunan kemahiran, pemikiran kritis dan reflektif serta inovasi dan pembelajaran sepanjang hayat.



Pada masa yang sama, ia juga mensejajarkan pendudukan dengan pasaran kerja masa depan dan keperluan masyarakat.
Bagi pendidik, AI bertindakan sebagai peralatan sokongan dan bukannya sebagai pengganti bagi pendidik. Ia mampu memperkasakan mereka dengan membantu tugasan berulang automatik seperti penggredan dan mejejak kedatangan serta memberikan guru lebih masa untuk memberikan tunjuk ajar, memudahkan pemikiran kritis dan pembangunan holistik pelajar.
Persidangan diteruskan dengan sesi pembelajaran kolaboratif, diikuti dengan 70 pembentangan kertas penyelidikan, 10 bengkel interaktif dan 10 pameran poster digital.
Persidangan Hari Guru dianjurkan oleh Kementerian Pendidikan dan Kementerian Hal Ehwal Ugama melalui Jabatan Pengurusan Pendidik, dengan kerjasama Institut Pendidikan Sultan Hassanal Bolkiah (IPSHB) dan Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB).
Hasil persidangan tahun ini diharapkan dapat memperkasakan guru-guru sebagai pemangkin perubahan, selari dengan usaha ke arah transformasi pendidikan yang berteraskan nilai dan berpusatkan insan di Negara Brunei Darussalam.

