Jumaat, 21 November 2025
24.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    AI Ready teruskan agenda pendigitalan negara

    Oleh Sim Y. H.-

    BANDAR SERI BEGAWAN, 5 JUN – Dengan ASEAN bergerak ke hadapan dalam agenda pendigitalannya, kita harus memastikan bahawa rakyat kita khususnya belia, pendidik dan ibu bapa bukan hanya sekadar pengguna teknologi pasif tetapi merupakan peserta aktif dalam pembentukannya.

    Ia bermakna membina keyakinan digital, menanamkan kesedaran etika serta membangunkan minda dan kemahiran yang betuk untuk mengemudi secara bertanggungjawab dalam dunia berkuasa kecerdasan buatan (AI).

    Perkara itu dijelaskan oleh Setiausaha Tetap (Pengajian Tinggi), Kementerian Pendidikan, Dr Haji Azman bin Ahmad ketika berucap di pelancaran Program AI Ready ASEAN yang berlangsung di Dewan Mawaddah, Setia Point, hari ini. Di Negara Brunei Darussalam, jelasnya lanjut, kita juga komited kepada matlamat berkenaan di mana Wawasan Brunei 2035, membayangkan sebuah rakyat yang berpendidikan dan berkemahiran tinggi, hidup dalam sebuah ekonomi yang dinamik dan mampan.

    Transformasi digital merupakan salah satu pemboleh utama bagi wawasan berkenaan dan Kementerian Pendidikan, melalui rangka kerja pendidikan tinggi dan pendidikan teknikal, terus memperjuangkan pendidikan siaga masa depan yang selaras dengan kompetensi industri 4.0. Dr Haji Azman menekankan selain kemahiran teknikal, nilai adalah paling penting dalam pembangunan AI. Ia menyeru bagi teknologi yang meningkatkan dan memperkasakan serta bukannya memecah belah atau menggantikan, menonjolkan keperluan untuk menanamkan etika, keterangkuman dan tanggungjawab ke dalam semua inisiatif AI.

    Terdahulu, Pengurus Projek bagi AI Ready ASEAN di ASEAN Foundation, Diera Gala Paksi menyatakan sebuah laporan 2024 menunjukkan Asia Tenggara menarik AS$30 bilion dalam pelaburan AI yang berpotensi untuk meningkatkan KDNK ASEAN sebanyak 10 peratus hingga 18 Peratus menjelang 2030 yang menekankan keperluan bagi latihan literasi AI.

    Sesi bergambar ramai semasa acara tersebut yang diadakan di Dewan Mawaddah, Setia Point, kelmarin. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI

    Beliau juga menyeru supaya detik ini bukan hanya sebagai permulaan sebuah program tetapi kesinambungan kerjasama bermakna di mana Brunei memainkan peranan utama dalam membentuk sebuah masyarakat ASEAN yang berkebolehan secara digital dan beretika.

    Pelancaran Program AI Ready ASEAN di Negara Brunei Darussalam menandakan sebuah mercu tanda signifikan dalam perjalanan transformasi digital rantau ASEAN. Program yang dilaksanakan oleh ASEAN Foundation dengan sokongan daripada Google.org, bermatlamat untuk melibatkan dan memperkasa 5.5 juta orang individu dari kesemua 10 negara anggota ASEAN dengan kemahiran penting AI.

    Inisiatif itu direka untuk mempersiapkan warga ASEAN termasuk belia, pendidik dan ibu bapa, untuk berkembang maju dalam era digital sambil penggunaan AI secara bertanggungjawab serta beretika.

    Di Negara Brunei Darussalam, ASEAN Foundation bekerja rapat dengan dua rakan kongsi pelaksana tempatan yang ditetapkan iaitu Universiti Teknologi Brunei (UTB) dan Big BWN Project dengan matlamat untuk melibatkan serta memperkasa 20 ribu orang individu di Brunei.

    Sorotan utama program berkenaan termasuk skop kebangsaan menyasarkan 20 ribu orang individu di Brunei dengan pendekatan inklusif yang menumpukan secara khusus kepada belia, pendidik dan ibu bapa.

    Dibina atas asas etika yang menekankan guna pakai AI bertanggungjawab dan beretika, inisiatif itu menggabungkan peluang pembelajaran praktikal termasuk aktiviti-aktiviti amali seperti Bengkel Hour of Code menerusi Code.org.

    Majlis pelancaran berkenaan turut menyaksikan pertukaran perjanjian geran pembiayaan di antara ASEAN Foundation dengan rakan-rakan konsi pelaksana tempatan dan diikuti dengan sebuah bengkel interaktif, Hour of Code bagi para peserta.

    Bengkel itu merupakan salah satu aktiviti utama di bawah kempen peningkatan kesedaran mengenai AI bagi program berkenaan.

    Program AI Ready ASEAN merupakan usaha kolaboratif untuk menghubungkan jurang digital dan memastikan komuniti Asia Tenggara termasuk Brunei adalah bersiap siaga bagi masa depan dipacu AI. Menerusi latihan komprehensif, kempen kesedaran dan bengkel praktikal, inisiatif berkenaan akan membantu membina sebuah penduduk siaga AI dan celik digital di seluruh rantau berkenaan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda