Saturday, November 16, 2024
23.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    AI takkan hapuskan sepenuhnya sektor pekerjaan – Altman

    PARIS, 28 MEI – Ketua OpenAI, syarikat di sebalik bot ChatGPT yang menjadi sangat popular, baru-baru ini berkata bahawa teknologi syarikatnya tidak akan memusnahkan pasaran pekerjaan semasa beliau berusaha untuk meredakan kebimbangan mengenai kemajuan kecerdasan buatan (AI).

    Sam Altman, dalam lawatan global untuk berjumpa dengan para pemimpin negara dan individu-individu berpengaruh, berkata di Paris bahawa AI tidak akan menghapuskan sepenuhnya sektor tenaga kerja melalui automasi, seperti yang diperkatakan oleh ramai orang.

    “Idea bahawa AI akan berkembang ke tahap di mana manusia tidak mempunyai apa-apa kerja untuk dilakukan atau tidak mempunyai apa-apa tujuan tidak pernah terlintas dalam fikiran saya,” katanya.

    Ditanya mengenai industri media, di mana beberapa agensi sudah menggunakan AI untuk menjana cerita, Altman berkata ChatGPT sebaliknya sepatutnya digunakan seolah-olah memberi seorang wartawan 100 pembantu untuk membantu mereka menyelidik dan menghasilkan idea.

    Altman, bintang baharu di Silicon Valley yang berusia 38 tahun, telah menerima sambutan meriah daripada para pemimpin di mana-mana dari Lagos ke London.

    Walaupun pada awal minggu ini, beliau seolah-olah mengganggu Kesatuan Eropah dengan memberi petanda bahawa syarikatnya boleh meninggalkan blok itu jika mereka mengawal dengan terlalu ketat.

    Beliau menegaskan kepada sekumpulan wartawan di luar acara Paris bahawa tajuk berita itu tidak adil dan beliau tidak berniat untuk meninggalkan blok itu, sebaliknya OpenAI berkemungkinan akan membuka pejabat di Eropah pada masa hadapan. – AFP

    Altman ketika menyampaikan ucapan di Stesen F di Paris baru-baru ini. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda