Saturday, April 19, 2025
31.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    AI ubah landskap tenaga dunia menjelang 2030

    PARIS – Penggunaan elektrik oleh pusat data dijangka akan meningkat lebih dua kali ganda menjelang tahun 2030, didorong oleh aplikasi kecerdasan buatan (AI) yang bakal mencetuskan cabaran baharu terhadap keselamatan tenaga dan sasaran pengurangan pelepasan karbon dioksida (CO2), menurut Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA).

    Dalam masa yang sama, AI juga membuka peluang untuk menghasilkan dan menggunakan tenaga dengan lebih cekap, kata IEA dalam laporan sulungnya mengenai impak tenaga akibat perkembangan AI.

    Pusat data mewakili kira-kira 1.5 peratus penggunaan elektrik global pada tahun 2024, dan angka itu meningkat sekitar 12 peratus setiap tahun sejak lima tahun lalu. AI generatif memerlukan kuasa pengkomputeran yang besar untuk memproses maklumat daripada pangkalan data gergasi.

    Ketika ini, Amerika Syarikat (AS), Eropah dan China menyumbang sekitar 85 peratus penggunaan elektrik pusat data global.

    Syarikat-syarikat teknologi besar semakin sedar mengenai keperluan tenaga mereka yang kian meningkat. Google, sebagai contoh, menandatangani perjanjian tahun lalu untuk mendapatkan tenaga dari reaktor nuklear kecil bagi menyokong keperluan AI mereka.

    Gambar Freepik
    Gambar Freepik

    Microsoft pula dijangka akan menggunakan tenaga dari reaktor baharu di Three Mile Island – tapak kemalangan nuklear terburuk AS pada 1979. Amazon juga menandatangani perjanjian pada tahun lalu untuk membekalkan tenaga nuklear kepada pusat datanya.

    Mengikut kadar pertumbuhan semasa, pusat data dijangka akan menggunakan sekitar tiga peratus tenaga global menjelang 2030, kata laporan itu.

    IEA menganggarkan penggunaan elektrik pusat data bakal mencecah kira-kira 945 terawatt jam (TWH) menjelang 2030 lebih tinggi sedikit daripada jumlah penggunaan elektrik di Jepun pada masa ini.

    “AI adalah pemacu utama pertumbuhan ini, selain permintaan yang semakin meningkat untuk perkhidmatan digital lain,” jelas laporan berkenaan.

    Satu pusat data berkapasiti 100 megawatt boleh menggunakan tenaga setara dengan 100,000 isi rumah, dan beberapa pusat data yang kini dalam pembinaan dijangka mampu menggunakan tenaga setara dengan dua juta isi rumah.

    IEA turut menegaskan bahawa AI mempunyai potensi untuk mengubah landskap sektor tenaga dalam dekad akan datang, dengan mendorong lonjakan permintaan elektrik daripada pusat data di seluruh dunia, di samping membuka peluang untuk mengurangkan kos, meningkatkan daya saing, dan menurunkan pelepasan karbon.

    Dalam usahanya mengekalkan kelebihan dalam perlumbaan AI berbanding China, Presiden AS, Donald Trump, telah melancarkan penubuhan Majlis Nasional Dominasi Tenaga, yang ditugaskan untuk merangsang pengeluaran tenaga negara.

    Buat masa ini, arang batu membekalkan sekitar 30 peratus daripada keperluan tenaga pusat data, namun tenaga boleh diperbaharui dan gas asli dijangka akan mengambil alih bahagian yang lebih besar disebabkan kos yang lebih rendah dan ketersediaan yang lebih luas di pasaran utama.

    Pertumbuhan pusat data turut dijangka akan meningkatkan pelepasan karbon akibat penggunaan tenaga elektrik dari 180 juta tan CO2 pada masa kini kepada 300 juta tan menjelang 2035.

    Walau bagaimanapun, jumlah ini masih merupakan sebahagian kecil daripada 41.6 bilion tan pelepasan global yang dianggarkan pada tahun 2024. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda