NEW DELHI, 19 JUN – Majlis Perniagaan ASEAN India (AIBC) menggesa agar Perjanjian Perdagangan Bebas Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN) – India (AIFTA) diAsemak semula kelmarin.
“AIFTA telah distrukturkan 10 tahun lalu, dan kami berharap ia boleh disemak semula bagi meningkatkan perdagangan antara ASEAN dan India,’’ kata pengerusi bersama AIBC, Datuk Ramesh Kodammal kepada Bernama di New Delhi semalam.
India menjadi tuan rumah Mesyuarat Khas Menteri Luar ASEAN-India di ibu kota negara itu pada 16 Jun bagi menandakan ulang tahun ke-30 hubungannya dan perkongsian strategik 10 tahun dengan pakatan 10 buah negara anggota ASEAN.
Semasa berlangsungnya Dialog Delhi ke-12 pada 16-17 Jun, Ramesh menegaskan bahawa semakan semula ke atas AIFTA masih belum selesai walaupun perbincangan telah diadakan beberapa kali.
Keadaan geopolitik dunia juga telah berubah sementara kedua-dua inflasi dan harga komoditi meningkat.
Manakala itu, Perjanjian Rangka Kerja Kerjasama Ekonomi Komprehensif antara ASEAN dan India telah ditandatangani pada Oktober 2003 dan dijadikan sebagai asas undang-undang untuk memuktamadkan perjanjian selanjutnya, termasuk Perjanjian Perdagangan Barangan, Perjanjian Perdagangan dalam Perkhidmatan dan Perjanjian Pelaburan yang membentuk AIFTA.
Sementara itu, perlaksanaan Perjanjian Perdagangan Barangan ASEAN-India telah dimeterai dan berkuat kuasa pada 1 Jan, 2010.
Di bawah perjanjian tersebut, negara anggota ASEAN dan India bersetuju untuk membuka pasaran masing-masing dengan secara beransur-ansur mengurangkan dan menghapuskan duti eksais ke atas liputan 76.4 peratus barangan. – Bernama