Oleh Fadley Faisal
BANDAR SERI BEGAWAN, 9 JULAI – Mahkamah Majistret di sini, hari ini, telah menetapkan tarikh 11 Julai untuk menjatuhkan hukuman terhadap seorang lelaki yang mengaku bersalah atas dakwaan menyebarkan gambar lucah dan ugutan jenayah.
Abdul Majid bin Haji Bini, 27, bersetuju dengan kenyataan fakta yang dihadapkan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nurul Fitri binti Kiprawi yang mendedahkan bahawa defendan mempunyai hubungan dengan mangsa dan perhubungan mereka berakhir ketika mangsa hamil dengan anak mereka sekitar 2019. Pada Oktober 2019, dengan niat jahat, mangsa mengancam untuk menyebarkan gambar-gambar peribadi mangsa dan kemudian memuat naiknya ke Instagram.
Mangsa membuat aduan kepada Pasukan Polis Diraja Brunei dan defendan diberikan amaran keras pada ketika itu.
Sekitar Januari lalu, defendan cuba berbaik dengan mangsa tetapi ditolak kemudian membuat beberapa akaun Instagram di bawah pelbagai nama untuk menyebarkan gambar dan mengaibkan mangsa malah berkongsi nama penuh dan butiran peribadi mangsa.
Defendan juga tag akaun Instagram sekolah rendah di mana mangsa bekerja sebagai guru untuk mengaibkan lagi mangsa. Ini membawa kepada pendedahan akaun-akaun berkenaan kepada mangsa yang bersemuka dengan defendan dan memintanya untuk memadamkan gambar-gambar berkenaan dan menutup akaun-akaun Instagram berkenaan.
Sekitar Februari, defendan sekali lagi cuba untuk berbaik dengan mangsa dan sekali lagi ditolak dan defendan bertindak melakukan ugutan jenayah, mengancam untuk menyebarkan lagi dan memuat naik gambar-gambar peribadi mangsa. Mangsa kemudian membuat laporan polis. Pada bulan ini, mangsa mendapati dua lagi akaun Instagram dengan gambar-gambar peribadinya yang dilaporkannya kepada polis.
Siasatan yang dijalankan oleh pihak polis mendedahkan bahawa defendan mengaku membuat semua akaun Instagram berkenaan dengan niat untuk menyebarkan gambar-gambar peribadi mangsa untuk mengaibkannya.
Dakwaan membawa hukuman penjara dua tahun dan denda maksimum $5,000 bagi kesalahan pertama serta penjara lima tahun dan denda maksimum $30,000 bagi kesalahan seterusnya di bawah Seksyen 292 Kanun Hukuman Jenayah dan boleh dipenjarakan tiga tahun dan denda atau kedua-duanya bagi dakwaan ugutan jenayah di bawah Seksyen 506 Kanun Hukuman Jenayah.
Majistret Dewi Norlelawati binti Haji Abdul Hamid mempertimbangkan hukuman sesuai terhadap defendan.