BAITULMAQDIS, 6 JUN – Puluhan ribu rakyat Palestin menunaikan solat sunat Aidiladha di Masjid Al-Aqsa di Baitulmuqaddis pada pagi hari ini, meskipun menghadapi sekatan ketat Israel dan suasana suram akibat perang genosid yang berterusan di Gaza, lapor Anadolu Ajansi.
Menurut anggaran, kira-kira 80,000 rakyat Palestin hadir di masjid itu, sambil melaungkan takbir raya ketika keluar dan masuk ke kawasan masjid.
Polis Israel dikerahkan secara besar-besaran di dalam dan sekitar kawasan Masjid Al-Aqsa serta Kota Lama sebelum, semasa dan selepas solat sunat Aidiladha.
Namun, ramai rakyat Palestin dari Tebing Barat tidak dapat hadir untuk menunaikan solat di Baitulmaqdis berikutan sekatan pergerakan yang dikenakan oleh Israel.
Ramai rakyat Palestin dihalang daripada memasuki masjid oleh pihak berkuasa Israel dan terpaksa menunaikan solat di luar pintu pagar masjid itu.
Suasana di Baitulmaqdis kelihatan suram, tatkala bandar itu bergelut dengan kesan perang genosid Israel yang masih berlanjutan di Semenanjung Gaza. – Bernama


