Oleh Nurdiyanah R. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 28 MAC – Sekarang kita telah pun berada di penghujung bulan Ramadan, dan inilah masanya untuk kita terus meningkatkan lagi ibadat dan amal kebajikan bagi memperoleh ganjaran berlipat ganda yang dijanjikan oleh Allah SWT.
Kita tidak pasti adakah kita akan berpeluang lagi untuk bertemu dengan Ramadan akan datang. Berbahagialah mereka yang mendapati Ramadan lalu dosa-dosanya diampuni oleh Allah SWT.
“Maka marilah kita memanfaatkan baki-baki yang ada pada bulan Ramadan ini diisi dengan pelbagai ibadat dan amal kebajikan,” seru khatib semasa khutbah Jumaat yang bertajuk Meraikan dan Menyambut Aidilfitri.
Dengan berakhirnya bulan Ramadan yang mubarak ini, katanya lagi, maka umat Islam akan menyambut kedatangan bulan Syawal dengan meraikan Aidilfitri, iaitu hari kemenangan umat Islam setelah berjaya menunaikan ibadat puasa selama sebulan dan mengharungi perjuangan melawan hawa nafsu.
“Dalam meraikan dan menyambut Aidilfitri, kita perlulah mengamalkan sikap kesederhanaan untuk mengelakkan pembaziran. Oleh itu, sambutlah Aidilfitri dengan sederhana dan berhemat, janganlah berbelanja lebih daripada kemampuan, yang akhirnya akan menyusahkan dan membebankan diri sendiri,” tegasnya.

Khatib turut mengingatkan agar jangan lalai dan leka malah merebut peluang untuk mempertingkatkan lagi amal ibadat.
Satu perkara yang perlu kita ingat sebagai umat Islam adalah membayar zakat fitrah untuk diri sendiri dan tanggungan dan jangan sampai luput waktu membayarnya.
“Sesungguhnya mengeluarkan zakat adalah salah satu daripada Rukun Islam yang wajib kita tunaikan. Zakat hukumnya wajib ke atas setiap orang Islam yang mencukupi syarat-syaratnya, sama ada zakat fitrah mahupun zakat harta,” jelas khatib.
Khatib turut menjelaskan zakat fitrah itu mengandungi banyak rahsia dan hikmat.
Antaranya ialah untuk menampal kekurangan yang tidak diketahui atau tidak sengaja dilakukan semasa melakukan ibadat puasa. Ini kerana kadang kala orang yang berpuasa ini terlanjur mengeluarkan kata-kata yang keji atau melakukan perbuatan-perbuatan yang dilarang dalam Islam dengan tidak sengaja seperti mengumpat, memaki orang dan seumpamanya. Semua ini mengotorkan jiwa orang yang berpuasa.
“Oleh sebab itu, agama kita memerintahkan setiap umat Islam supaya mengeluarkan zakat untuk menyucikan jiwa orang yang berpuasa dan menampal kekurangan-kekurangan yang dilakukan semasa berpuasa. Selain itu, tujuan zakat fitrah juga boleh dilihat dari sudut kemasyarakatan, di mana dengan mengeluarkan zakat akan menimbulkan kasih sayang, kegembiraan dan keharmonian di dalam suatu kelompok masyarakat, terutama bagi fakir miskin dan orang-orang yang berhajat padanya,” tambahnya.
Seterusnya khatib juga menjelaskan tujuan utama sambutan Aidilfitri ialah untuk meraikan kejayaan hamba-hamba Allah SWT yang telah berjaya melaksanakan ibadat puasa dengan penuh keimanan dan ketakwaan.
Oleh itu, sambutan yang dilakukan juga biarlah mengikut ajaran dan landasan agama antaranya pada malam Hari Raya pertama kita disunatkan menghidupkan malam tersebut dengan laungan takbir, bacaan Al-Quran, berzikir, berdoa dan sebagainya.
Bukannya meraikan malam tersebut dengan perkara-perkara yang membahayakan dan memudaratkan apatah lagi dengan membuat perkara-perkara mengganggu ketenteraman orang lain dan elakkanlah membuat persiapan di saat-saat akhir sampai larut malam sehingga menyebabkan ada yang tidak sempat mendirikan Sembahyang Fardu Subuh dan terlepas Sembahyang Sunat Aidilfitri kerana tidak berjaga dan keletihan.
Khatib turut mengingatkan pada pagi Hari Raya pula, disunatkan mandi dengan niat kerana kedatangan Aidilfitri, di samping memakai bau-bauan yang harum, membersihkan diri dengan memotong kuku dan memakai pakaian yang paling elok, kerana hari tersebut merupakan hari untuk berhias-hias dan berelok-elok.
Sebelum ke masjid untuk bersembahyang Hari Raya pula, disunatkan memakan buah kurma dengan bilangan yang ganjil, inilah yang diamalkan oleh Rasulullah SAW sebelum ke masjid untuk mendirikan Sembahyang Sunat Aidilfitri.
Di penghujung khutbah, khatib menyeru untuk bersama-sama meraikan dan menyambut hari kemenangan iaitu Aidilfitri yang bakal menjelang tidak lama lagi dengan tidak mencemari sambutan tersebut dengan perkara-perkara dosa dan maksiat setelah sebulan berpuasa.