Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 13 APRIL – Kira-kira seramai 200 orang hadir di Majlis Ramah Mesra Aidilfitri Belia dan Beliawanis Masjid Senegara Syawal Diraikan, Ukhuwah Dieratkan hari ini di Masjid Duli Raja Isteri Pengiran Anak Damit, Mukim Kilanas, bagi tahun ini.
Hadir selaku tetamu kehormat di majlis itu ialah Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin, yang juga Penaung 1 Ahli Jawatankuasa (AJK) Takmir Masjid Duli Raja Raja Isteri Pengiran Anak Damit.
Kepentingan menjaga silaturahim sebagai umat Islam merupakan antara perisian tazkirah yang disampaikan oleh Pegawai Perkembangan Agama, Pusat Dakwah Islamiah, Awang Ahmad Muzhafar bin Haji Marsidi.
Selain untuk meraikan bulan Syawal, acara tahunan ini juga membuka ruang kepada para belia untuk terus aktif berinteraksi secara sihat, mengasah potensi kepimpinan mengeratkan ukhuwah sesama belia dan juga masyarakat yang secara tidak langsung mengimarahkan masjid sebagai tempat beribadah dan pusat pembangunan rohani, intelektual dan sosial.
Majlis berkenaan merupakan anjuran bersama Kumpulan AJK Tertinggi Belia Masjid Senegara dan AJK Takmir Masjid Duli Raja Raja Isteri Pengiran Anak Damit dengan kerjasama Bahagian Hal Ehwal Belia, Jabatan Hal Ehwal Masjid.
Turut hadir ialah Pemangku Pengarah Jabatan Hal Ehwal Masjid di Kementerian Hal Ehwal Ugama, Haji Amir Hisham bin Haji Masri.