BANDAR SERI BEGAWAN, 12 MEI – Seramai 26 orang wakil ahli keluarga generasi Allahyarham Pengarah Abd Rahman bin Pehin Udana Khatib Muhit berkumpul buat pertama kali dalam suasana masyarakat masih menyambut Hari Raya Aidilfitri.
Perhimpunan yang menyatukan generasi keluarga isteri pertama Allahyarham Pengarah Abd Rahman yang kebanyakannya bermastautin di Daerah Brunei dan Muara dengan keluarga isteri kedua Allahyarham dari Daerah Tutong itu diadakan di sebuah restoran kopitiam di Kampung Sungai Hanching.
Wakil keluarga isteri pertama Allahyarham yang merupakan Pemangku Ketua Kampung Sungai Hanching dan cicit kepada Allahyarham iaitu Haji Abd Rahman bin Sapar, berkata, pertemuan istimewa tersebut juga dihadiri oleh cicit-cicit yang lain.
“Kita sangat menghargai usaha ahli-ahli keluarga yang datang untuk bersama-sama berkumpul kali ini. Bagi ahli keluarga yang tidak dapat hadir, kita akan sentiasa berhubung dan akan terus berusaha mengadakan perhimpunan seperti ini,” katanya ketika berucap.
Perhimpunan keluarga itu dianjurkan bertujuan mengeratkan lagi silaturahim ahli keluarga sekali gus dapat memberikan peluang untuk berjumpa dengan ahli keluarga yang belum pernah dikenali atau ditemui.
Sementara itu, wakil ahli keluarga sebelah isteri kedua Allahyarham dari Daerah Tutong iaitu Haji Bolhassan bin Haji Bagol, memaklumkan dia merupakan piut kepada Allahyarham dan sangat menyokong usaha mengadakan perhimpunan keluarga seperti itu.
Dalam pada itu, Awang Abidin bin Haji Othman yang juga merupakan piut kepada Allahyarham seterusnya memperkenalkan wakil-wakil ahli keluarga dari Daerah Tutong menerusi tayangan slaid carta salasilah generasi Pengarah Abd Rahman yang telah beliau kumpulkan dan bakal dibukukan.
Majlis diakhiri dengan menikmati jamuan dan bacaan Doa Kesyukuran.