Oleh Normazlina M.D
BANDAR SERI BEGAWAN, 21 Jun – Sambutan Hari Raya Aidilfitri yang disambut dengan meriah bukan sahaja dapat dirasakan oleh orang yang beragama Islam, bahkan turut dirasai oleh ahli keluarga yang bukan beragama Islam.
Seramai 15 orang terdiri daripada ahli keluarga Haji Bakar bin Ibrahim yang tinggal di Kuala Penyu, Sabah dan Lawas, Sarawak baru-baru ini telah berkunjung ke negara ini semata-mata ingin menikmati Sambutan Hari Raya Aidilfitri bersama ahli keluarga mereka yang beragama Islam di Kampung Sungai Akar.
Fen Lix yang mengetuai rombongan tersebut menjelaskan bahawa kedatangan mereka ke negara ini adalah untuk sama-sama menyambut Hari Raya Aidilfitri di samping mengeratkan lagi hubungan silaturahim dan kekeluargaan meskipun berlainan agama.
“Walaupun kami berlainan agama, ikatan kekeluargaan tidak dapat memutuskan talian perhubungan biarpun kami tinggal di dua negara yang berbeza,” jelasnya.
Beliau mengongsikan biarpun keluarga menyambut perayaan yang berbeza, keluarga di luar negara tidak mungkin akan dilupakan. Sebagaimana keluarga mereka di Brunei, mereka akan sama-sama menyambut Hari Raya Aidilfitri dan jika ada perayaan Cina, mereka juga akan menjemput ahli keluarganya yang lain untuk meraikannya.
Fen Lix yang juga merupakan cucu kepada Haji Bakar turut menyatakan harapan agar ikatan kekeluargaan mereka semakin bertambah utuh dan kuat biarpun berlainan agama dan tinggal di negara berasingan.