Oleh Muiz Matdani
BANDAR SERI BEGAWAN, 29 NOV – Seramai 37 daripada lebih 45,000 penyertaan telah dipilih untuk memenangi hadiah dalam promosi Cabutan Bertuah Tawaran Lebaran anjuran AIFA Sdn Bhd sempena Sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini.
Cabutan telah dibuat oleh Duta Besar Republik Korea ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Kim Soung-Eun selaku tetamu kehormat pada majlis yang berlangsung di kediaman Pengarah Urusan AIFA, Dr Andy Lau di Lambak, Berakas, hari ini.
Para pemenang berkenaan akan membuat cabutan bagi menentukan hadiah yang akan dibawa pulang pada 11 Disember depan.
Pemenang utama akan membawa pulang pakej TV Pintar LED Aifa 86” dan Teater Rumah Pevy, pemenang kedua pula akan membawa pulang peti sejuk LG dan hadiah ketiga ialah Elba standing cooker bersama cooker hood.
Para pemenang lain pula akan membawa pulang peralatan-peralatan elektrik seperti TV pintar, peti sejuk, penyaman udara, periuk masak induksi, cooker hood, pembersih vakum, dispenser air, kipas siling dan berdiri serta banyak lagi di mana kesemua hadiah bernilai $24,000.
Dr Andy Lau dipetik berkata bahawa dengan dunia berdepan pandemik global dalam dua tahun kebelakangan ini, rakyat di negara ini sangat bertuah kerana dapat hidup lebih setahun bebas COVID-19 dalam komuniti sehingga gelombang kedua yang membawa kepada beberapa bulan sekatan pergerakan separa sehingga bulan lalu dan kini dalam Fasa Peralihan.
Menurutnya, AIFA sangat bertuah kerana dapat menghoskan majlis itu dengan mematuhi prosedur operasi standard dan mengehadkan jumlah kehadiran.
Walaupun syarikat itu telah menghadapi beberapa masalah semasa pandemik ini seperti kenaikan harga dan kelewatan dalam logistik namun mereka memastikan bahawa harga kekal mesra pengguna di pasaran dan sebagai tambahan, AIFA baru-baru ini menerima pensijilan kerajaan untuk kelulusan lapan model penyaman udara.
“Bagi pihak AIFA Sdn Bhd, saya dengan tulus ikhlas mengucapkan terima kasih kepada kerajaan dan rakyat Brunei Darussalam atas kepercayaan dan sokongan berterusan kepada kami,” tambah beliau.
Majlis cabutan berkenaan turut dihadiri oleh para pengedar AIFA yang mewakili pelanggan masing-masing yang namanya dicabut pada majlis tersebut.
Kempen cabutan bertuah berkenaan telah berlangsung dari 1 April hingga 18 Julai lalu.