KUCHING, 14 NOV – Anugerah dan Festival Filem Antarabangsa ASEAN (AIFFA) 2025 mencatatkan pencapaian penting dalam memartabatkan landskap perfileman Borneo menerusi pengenalan Anugerah Dokumentari Borneo, menurut kenyataan dikeluarkan Sekretariat AIFFA.
Sekretariat itu memaklumkan majlis penganugerahan yang berlangsung di Muzium Budaya Borneo meraikan karya bukan fiksyen yang menonjolkan kekayaan budaya, tradisi dan geografi Borneo.
Pengarah Festival AIFFA, Livan Tajang, dalam kenyataannya berkata kategori baharu itu bertujuan menyediakan laluan khusus kepada pengarah filem serantau untuk menonjolkan naratif dan menarik perhatian antarabangsa terhadap kepelbagaian warisan pulau tersebut.
“Anugerah itu menampilkan tiga kategori utama iaitu Anugerah Dokumentari Ciri Borneo Terbaik, Anugerah Dokumentari Pendek Terbaik Malaysia Timur dan Anugerah Merit Khas dengan pencalonan mewakili produksi dari Malaysia, Brunei dan Malaysia Timur,” katanya.
Karya Wujud dari Brunei arahan Syafi Halim yang diterbitkan New Wave Films memenangi Anugerah Dokumentari Ciri Borneo Terbaik untuk penggambaran yang mendalam berhubung identiti, warisan dan pengalaman hidup di negara tersebut.
Kenyataan juga memaklumkan The Rhythm of Our Ancestors: Hivan Kayau oleh Lasan Co.
dinamakan sebagai Anugerah Dokumentari Pendek Terbaik Malaysia Timur manakala The Songs of Highlands arahan Sarah Lois menerima Anugerah Merit Khas atas sumbangan memelihara bahasa pribumi menerusi muzik.
Sebanyak 31 penyertaan diterima untuk pertandingan itu, dengan syarat karya perlu dihasilkan antara 2024 dan 2025, dirakam di Borneo dan tertumpu pada tema berkaitan kepulauan itu, menurut kenyataan tersebut.
Sekretariat memaklumkan panel penilai terdiri daripada pembuat filem serantau dan pakar industri termasuk Lina Teoh, Prisca Florence Wong, Amelia Hapsari, Nadira Ilana dan Candida Jau Emang. – Bernama

