Penyanyi Ailee sedih apabila tunangnya iaitu Choi Si Hun dituduh menumpang kesenangan dan kemewahan dimilikinya.
Malah ada melabel Si Hun sebagai biawak hidup kerana tidak bekerja dan pemalas, menurut laporan mStar.
Menyangkal dakwaan tersebut, Ailee, 36, sebaliknya berkata, Si Hun seorang lelaki yang rajin malah melakukan pelbagai pekerjaan dalam satu-satu masa.
“Si Hun bekerja keras dengan melakukan pelbagai pekerjaan tetapi orang ingat dia menganggur. Dia bukan sahaja seorang pempengaruh tetapi mempunyai pekerjaan tetap di sebuah syarikat.
“Walaupun dia sudah bekerja keras namun orang tetap fikir dia bergantung hidup dengan saya. Saya tak boleh buat apa-apa dengan pandangan orang,” katanya.
Ailee menjelaskan perkara itu ketika muncul bersama Si Hun menerusi program Kim Chang Ok Show 3 baru-baru ini.
Dalam pada itu, Ailee turut memohon maaf kepada Si Hun dalam program tersebut kerana tuduhan itu timbul disebabkan dirinya seorang selebriti dikenali.
Malah penyanyi itu bersyukur Si Hun tetap setia di sisinya walaupun dihina dengan pelbagai dakwaan yang mengguris hati.
“Saya minta maaf kepada Si Hun, kalau kami tak pernah bertemu mungkin perkara ini tidak akan terjadi. Tapi syukur sebab dia tetap memilih saya walaupun semua ini berlaku,” ujarnya.
Pasangan ini bakal mendirikan rumah tangga pada 20 April ini. – Agensi
