Pasangan pelakon Malaysia, Aiman Hakim Ridza dan Zahirah MacWilson bakal menimang cahaya mata kedua pada tahun depan.
Memetik dari mStar, berita gembira itu didedahkan Aiman, 34, menerusi Instagram miliknya pada semalam.
Aiman berkata, beliau bersyukur dan tidak sabar menanti kedatangan tahun 2024 bagi menyambut kelahiran anak kedua mereka.
“2023 hampir ke penghujung. Tidak sabar untuk 2024. Jumpa awak nanti anak kedua. Syukur Alhamdulillah,” katanya.
Menerusi hantaran sama, Aiman turut berkongsi gambar janin selepas Zahirah melakukan pemeriksaan ultra bunyi.
Bagaimanapun Aiman tidak memaklumkan tempoh kandungan dan juga jantina anak keduanya.
Meninjau ke ruangan komen, rata-rata netizen mengucapkan tahniah dan turut menantikan cahaya mata kedua pasangan itu.
“Wah tahniah… Tak sabarnya nak tunggu baby lahir.
“Isaac akan dapat adiklah! Tahniah…
“OMG, tahniah. Tak sabarnya,” komen peminat.
Untuk rekod, Aiman dan Zahirah mendirikan rumah tangga pada 20 Februari 2020 dan dikurniakan seorang cahaya mata iaitu Isaac Raees yang kini berumur dua tahun. – Agensi
