Sunday, December 22, 2024
24.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Aiman Tino lawat peminat hidap leukimia

    PETALING JAYA – Penyanyi popular, Aiman Tino, meluangkan masa kira-kira sejam bertemu dengan peminat ciliknya yang menderita leukimia di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), baru-baru ini.

    Lawatan itu dilakukan oleh bintang muda berusia 18 tahun berkenaan bagi menunaikan permintaan Ainul Mardhiah, 3, yang sering menyebut namanya ketika melakukan rawatan kemoterapi.

    Terpanggil untuk menziarahi peminat terbabit, Aiman yang sepatutnya bertolak ke Terengganu bagi mengadakan persembahan, melewatkan perjalanannya untuk memenuhi hasrat kanak-kanak itu.

    “Sepatutnya saya ke Terengganu sekarang, tetapi mengenangkan permintaan adik Ainul yang disampaikan oleh bapanya kepada pihak pengurusan, kita selitkan pertemuan ini. Lawatan ini tidak dirancang dan oleh kerana ada sedikit waktu terluang, saya sedia bertemu adik Ainul. Apabila mendapat tahu mengenai penderitaannya, saya jadi sebak. Tak dapat saya bayangkan macam mana kanak-kanak seusia dengannya mampu melawan penyakit seperti ini. Saya harap kehadiran saya dapat mengurangkan sedikit tekanan selain memberikan kegembiraan kepadanya,” kata Aiman yang kini popular dengan single kedua, Permata Cinta.

    Aiman Tino meluangkan masa melawat adik Ainul di PPUM.
    Aiman Tino meluangkan masa melawat adik Ainul di PPUM.

    Penyanyi itu tidak mahu meletakkan jurang antara dirinya dengan peminat, dan sedia bertemu sesiapa saja dalam kalangan mereka yang sedang sakit bagi memberikan sinar kegembiraan.

    “Saya dimaklumkan adik Ainul menghidap penyakit ini sejak dari usia anak damit lagi. Itu membuatkan saya sebak kerana saya juga mempunyai adik yang masih kecil. Kita sama-sama rasai apa yang dialami Ainul, apatah lagi saat perlu melakukan rawatan kemoterapi. Harapan saya semoga adik Ainul dan kanak-kanak lain yang senasib dengannya kuat dan tabah mengharungi dugaan ini. Insya-Allah, kalau ada kesempatan dan kelapangan saya akan datang ziarah lagi,” katanya.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda