KUALA LUMPUR, 29 Dis – Peneraju penyedia perkhidmatan pembawa data neutral di Asia Tenggara, AIMS Group, menyasarkan untuk mencatat pertumbuhan hasil sebanyak dua angka bagi 2017 yang turut mengatasi sasaran perkembangan industri berkenaan.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Chiew Kok Hin berkata 2017 juga merupakan tahun yang menyaksikan pelbagai perkembangan menarik bagi industri pusat data. “Sehubungan itu, pelbagai strategi dan pelaburan yang dilaksanakan di peringkat kumpulan dapat memberi jaminan terhadap kemampuan kami untuk mencatat pertumbuhan dua angka.
“Inisiatif ‘Interdata Centre (DC) Network’ yang dilancarkan oleh Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) bagi mengurangkan kos penyambungan data bagi pusat data juga terbukti mencetuskan persaingan dalam kalangan penggiat telekomunikasi untuk menurunkan lagi kos berkaitan.
“Pengurangan hampir 300 peratus itu turut menjadikan kami lebih kompetitif berbanding Singapura. Selain itu, kami juga melihat semakin banyak pertubuhan antarabangsa merujuk Malaysia dan Singapura sebagai bandar berkembar dalam usaha mereka melaksanakan kesalinghubungan rantau ini dengan bahagian lain dunia.
“Seiring jangkaan permintaan itu, kami akan menambah ruang seluas 18,000 kaki persegi untuk Lembah Klang berikutan kapasiti sedia ada kami melebihi 85 peratus,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini. – Bernama