Selepas mengumumkan kehamilan anak kedua, pengacara Ain Edruce berkongsi berita gembira bakal menimang anak lelaki.
Gembira menanti kehadiran cahaya mata itu, Ain atau Nurul Ain Edruce, 33, berharap anak berkenaan menambahkan lagi kebahagiaan dalam keluarga mereka.
“Apa-apa pun baby baharu adalah seorang lelaki.
“Semoga awak (Amirul) bahagia sekarang kerana mungkin drama akan berkurangan di rumah. Sama-sama kita doakan,” katanya menerusi satu hantaran di Instagram pada Sabtu.
Pada 1 Disember lalu, Ain berkongsi dirinya mengadakan majlis gender reveal, namun tidak berkongsi lebih lanjut mengenai usia dan jantina anak dikandungnya.
Pengumuman itu dibuat bersempena ulang tahun perkahwinannya dengan suami iaitu Amirul Hafiz.
Berseloroh mengenai ulang tahun berkenaan, Ain berkata dia hampir terlupa mengenai tempoh perkahwinan mereka.
“Selamat ulang tahun perkahwinan! Saya sayang awak (Amirul).
“Selamat ulang tahun perkahwinan. Dah berapa tahun dah. Lupalah. Tetapi rasa macam lama lah. Ke belum lama lagi?” ujarnya.
Untuk rekod, Ain dan Amirul mendirikan rumah tangga pada 2019 dan dikurniakan seorang cahaya mata perempuan iaitu Soraya yang kini berusia 4 tahun. – Agensi