Sabtu, 22 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Aina Abdul lebih percaya kredibiliti juri

    “Saya percaya semua orang ada pendapat masing-masing dan saya hormatinya. Tetapi, saya tidak bersetuju dengan kenyataan itu.”

    Demikian kata penyanyi Malaysia, Aina Abdul menyifatkan kenyataan seorang penyanyi yang mempersoalkan standard penilaian dalam industri muzik tanah air bersifat tidak wajar.

    Kata Aina, dia juga percaya akan kredibiliti juri yang menilai selain menyifatkan perkara itu bukanlah sesuatu yang patut dipertikaikan.

    “Saya percaya dengan kredibiliti juri-juri yang memilih. Nama-nama yang menjurikan itu semua nama-nama yang besar dalam industri.

    “Jadi, apabila ada yang mempersoalkan, mereka patut persoalkan dari segi penilaian. Bagi saya, benda itu tak sepatutnya berlaku. Namun, saya terima apa yang orang nak cakap,” katanya.

    Aina terpanggil untuk menjawab isu tersebut selepas Atilia memuat naik sebuah hantaran di Threads dengan membuat perbandingan antara penyanyi antarabangsa, Norah Jones dan Sade yang terkenal dengan nyanyian vokal lembut tanpa perlu meninggikan suara.

    Begitupun, pemenang Vokal Wanita Terbaik Anugerah Industri Muzik ke-24 (AIM) itu bukanlah sekadar menyanyi nota tinggi semata namun dirinya juga menimba ilmu dengan beberapa guru vokal yang berkaliber seperti, Cikgu Syafi.

    “Saya bukanlah menyanyi sekadar menjerit nota tingga saja. Saya pun datang dari latar belakang yang belajar ilmu vokal itu.

    “Dan saya bukanlah buat apa yang saya buat ini tanpa memikirkan apa-apa. Saya ada beberapa guru-guru sebelum ini dan guru-guru saya juga berkaliber dalam industri.

    “Jadi, saya pun membawa semangat ilmu-ilmu ini semua dalam diri saya. Saya tahu apa yang saya lakukan. Tapi, saya tak setuju dengan kenyataan itu sebab ada saja pemenang-pemenang AIM sebelum ini yang lagunya santai-santai saja,” jelasnya.

    Lali dengan kritikan berbangkit setiap kali memenangi sesuatu anugerah, penyanyi lagu Jangan Mati Rasa itu dia juga sudah boleh jangka malah menyifatkan tragedi yang berlaku ketika Anugerah Juara Lagu ke-39 (AJL39) mematangkannya.

    “Saya sudah boleh jangka isu ini akan jadi kerana daripada AJL pun perkara ini berlaku. AJL mematangkan saya sebenarnya. Banyak juga benda-benda daripada AJL yang selalu dipertikaikan juga.

    “Cuma, saya tak sangka dia akan sebesar ini. Saya harap semua pihak akan cepat-cepat selesaikan isu ini. Jadi saya tak takut juga untuk keluar,” ujarnya. – Agensi

    Aina Abdul percaya terhadap kredibiliti juri yang menilai. – Utusan Malaysia

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda