Thursday, July 24, 2025
26.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Aina Adrianna juara peraduan lukisan potret

    BANDAR SERI BEGAWAN, 23 JULAI – Dayang Aina Adrianna binti Ariffeen dengan lukisan bertajuk Kebesaran & Kedaulatan diumumkan sebagai pemenang utama pertandingan Peraduan Lukisan Potret sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ke-79, baru-baru ini.

    Pertandingan anjuran Pusat Tingkatan Enam Sengkurong (PTES) itu dibukakan kepada semua pelajar Pra-U Enam Atas dan Enam Bawah di PTES dan telah berlangsung selama sebulan.

    Peraduan tersebut mendapat penyertaan yang amat menggalakkan, melibatkan pelajar daripada pelbagai jurusan. Inisiatif ini diusahakan oleh Jabatan Art & Design, dengan sokongan daripada Unit Perpustakaan PTES serta Rumah Sukan Seri Indera.

    Objektif pertandingan adalah untuk memupuk semangat patriotisme dan menghargai Baginda Sultan melalui seni visual.

    Selain itu, pertandingan ini bertujuan memperkasakan kreativiti, bakat seni, dan kemahiran pelajar dalam bidang seni lukis. Ia juga menyediakan platform bagi pelajar untuk mempamerkan kebolehan mereka dalam seni potret, sekali gus mewujudkan persekitaran sekolah yang kreatif dan kaya dengan nilai budaya.

    Program itu turut memperkukuhkan peranan perpustakaan sekolah sebagai pusat ekspresi seni dan budaya.

    Sementara itu, Dayang Aina Adrianna mengongsikan bahawa beliau meluangkan sekitar 50 jam untuk menghasilkan karya tersebut dan hasilnya mempamerkan gabungan kehalusan teknik potret dan penghayatan mendalam terhadap simbol kedaulatan raja dan negara.

    Majlis penyampaian hadiah dan sijil penghargaan telah disempurnakan oleh Pengetua PTES, Dayang Tutty Hyrneeita binti Haji Abdul Latip pada 17 Julai lalu.

    Majlis turut dimeriahkan dengan bacaan Doa Kesyukuran sempena sambutan ulang tahun Hari Keputeraan Baginda Sultan.

    Penganjuran program tersebut diharapkan dapat diteruskan pada masa hadapan sebagai platform untuk membina jati diri pelajar melalui ekspresi seni dan kecintaan terhadap negara.

    Dayang Aina Adrianna bergambar bersama lukisannya bertajuk Kebesaran & Kedaulatan.
    Pengetua PTES bergambar ramai bersama para peserta.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda