Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 13 OGOS – Karya seni bertajuk National Pride hasil karya Dayang Aina Adrianna binti Ariffeen, pelajar dari Pusat Tingkatan Enam Sengkurong (PTES) berjaya memenangi tempat pertama dalam pemilihan peringkat kebangsaan.
Beliau menerima anugerah berprestij itu pada majlis yang diadakan di Pusat Seni Kebangsaan, Tokyo, Jepun, baru-baru ini.
Pengiktirafan itu merupakan satu lagi detik membanggakan bagi sekolah tersebut, selepas pencapaian Awang Asrol bin Purot, juga dari PTES, yang menerima anugerah yang sama pada tahun sebelumnya.
Dalam ucapan, Dayang Aina Adrianna merakamkan penghargaan kepada International Foundation for Arts & Culture (IFAC) kerana menganjurkan festival yang bermakna ini, sekali gus menghimpunkan pelajar dari seluruh dunia untuk berhubung dan menzahirkan keindahan negara masing-masing melalui seni.
Beliau menyatakan bahawa adalah satu penghormatan besar untuk menjadi sebahagian daripada acara istimewa ini. Selain itu, beliau turut menyampaikan penghargaan kepada keluarga dan guru seni lukis beliau atas sokongan yang berterusan, serta kepada Kementerian Pendidikan dan jawatankuasa penganjur kerana diberi peluang untuk mewakili negara dan terlibat dalam pertukaran budaya dengan pelajar seni dari seluruh dunia.



Pada tahun ini, empat karya seni dari Brunei Darussalam telah terpilih untuk dipamerkan di Pusat Seni Kebangsaan, Tokyo.
Pemenang tempat kedua dan ketiga juga dari PTES, Dayang Amirah binti Mohammed Rafiq dan Awang Ahmad Muqri bin Muhammad Zul Akmal, manakala pemenang tempat keempat, Dayang Husna Maghfirah binti Ahbarfakrie dari Sekolah Ugama Arab Menengah Perempuan Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha.
Pengiktirafan antarabangsa ini menjadi bukti kepada kreativiti dan potensi besar anak-anak muda Brunei, sekali gus memberi inspirasi kepada mereka untuk terus mengejar minat serta membentuk masa depan seni negara.
Festival Seni Antarabangsa bagi Pelajar Sekolah Menengah anjuran IFAC itu menawarkan platform unik kepada pelajar sekolah menengah atas untuk mempamerkan bakat kreatif yang cemerlang di pentas global.
Setiap tahun, antara 10,000 hingga 15,000 karya seni dihantar oleh pelajar dari seluruh dunia, dan 500 karya terbaik dipilih untuk dipamerkan di Pusat Seni Kebangsaan yang berprestij di Tokyo, yang mana karya-karya ini menonjolkan perspektif budaya yang unik dari negara-negara setiap peserta.

