Saturday, May 10, 2025
31.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Aina cipta lagu untuk Siti

    Datuk Seri Siti Nurhaliza berminat merakamkan lagu ciptaan penyanyi dan komposer, Aina Abdul sebagai buah tangan untuk dimuatkan dalam album terbaharu yang masih dalam pembikinan.

    Mengagumi hasil kerja pemenang trofi Vokal Terbaik pada Anugerah Juara Lagu (AJL) ke-36 itu, Siti memberitahu, hasrat sudah diluahkan kepada Aina ketika mereka menjayakan persembahan penutup konsert akhir Big Stage 2022 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, malam kelmarin.

    “Selepas membuat persembahan, saya beritahu Aina bahawa saya berminat untuk menyanyikan lagu ciptaannya. Aina bersetuju dengan permintaan saya itu,” katanya kepada BH Online.

    Menerusi persembahan itu, Siti menyanyikan lagu Aina berjudul Semalam manakala Aina mendendangkan lagu Purnama Merindu.

    Berkongsi kolaborasi yang julung kali diadakan itu, tanpa berselindung, penyanyi Aku Bidadari Syurgamu itu mengakui gementar.

    Sebagai penutup Big Stage 2022, Siti menyanyikan lagu Aina berjudul Semalam manakala Aina mendendangkan lagu Purnama Merindu. – Agensi

    “Saya cuba menyanyikan lagu itu mengikut kemampuan sendiri. Disebabkan itu, saya meminta supaya susunan muzik lagu itu digubah semula untuk disesuaikan dengan gaya nyanyian saya.

    “Pada awalnya, kami mahu membuat ‘mash up’. Namun, hasrat itu terpaksa dibatalkan kerana kami bukan mahu beradu vokal, sebaliknya, mahu memberi kepuasan kepada peminat.

    “Sekurang-kurangnya, ada orang tahu bahawa artis Malaysia memang hebat,” ujarnya.

    Sementara itu, Aina menyifatkan duet mereka itu seperti mimpi yang akhirnya menjadi kenyataan.

    “Sejujurnya, saya sudah lama menantikan saat ini. Saya bukan sahaja minat kepada nyanyiannya, malah, obses dengan kehebatan Tok Ti dalam industri.

    “Saya amat bersyukur dan gembira walaupun duet kami dalam tempoh lima minit sahaja. Kesudian Siti untuk berduet dengan saya memberikan aura positif,” katanya.

    Meskipun seronok, namun, pada masa sama, Aina bimbang dengan reaksi peminat terhadap persembahannya itu.

    “Bukan mudah menyanyikan lagu Tok Ti. Dapat dirasakan tekanan kerana saya sedar, pasti ada yang akan bersikap kritis terhadap nyanyian saya.

    “Tetapi tidak mengapa, saya sangat menghargainya. Lagipun, persediaan kami untuk segmen ini dibuat dalam waktu sangat singkat,” katanya.

    Persembahan duet istimewa itu berjaya menarik perhatian penonton apabila rata-rata menyifatkan nyanyian dua pemilik vokal hebat itu saling melengkapi dan menghiburkan. – Agensi

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda