Sabtu, 22 November 2025
23.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Aina pelawa Ernie ke konsert S’pura

    Berpegang niat menamatkan cerita tidak baik apabila keupayaan masing-masing sering diperbandingkan, Aina Abdul membuat kejutan apabila mengumumkan mengundang Ernie Zakri mengisi slot penyanyi jemputan pada konsertnya di Singapura, bulan depan.

    Penyanyi Malaysia, Aina atau nama sebenar, Nurul Aina Abdul Ghani mengaku cukup mengagumi bakat temannya, Ernie.

    Lantas, Aina mahu menjadikan Konsert A Night With Aina Abdul Live In Singapore pada 6 Januari depan sebagai simbolik kepada usaha menyemarak nilai positif dalam kalangan penggiat seni dan peminat, lapor BH Online.

    “Sebenarnya, saya ada senarai pendek artis yang bakal tampil pada konsert tersebut.

    “Namun, apabila diteliti semula, saya fikir ada kekurangan pada senarai itu. Saya
    petik nama Ernie kerana sangat memuja bakatnya.

    Aina dan Ernie ketika bertemu di pentas SFMM 38 di Studio 1, Glenmarie, Shah Alam, semalam. – Yahoo Lifestyle Singapore

    “Kedua, saya fikir, ini peluang yang baik untuk tutup kisah yang membandingkan saya dan Ernie,” katanya ditemui sebaik selesai membuat persembahan pada hari pertama Separuh Akhir Muzik Muzik (SFMM) ke-38 di Studio 1, Glenmarie, Shah Alam, Jumaat lalu.

    Pada hari pertama SFMM 38, lagu Jangan Mati Rasa Itu ciptaan Aina diumum Lagu Terbaik dan Lagu Pilihan, Alha Alfa.

    Aina berharap kerjasama dengan Ernie dapat memberi suntikan positif kepada industri muzik tanah air.

    “Saya fikir kita perlukan lebih banyak perkara positif dalam industri muzik. Apabila orang cakap wanita tidak boleh bekerjasama, saya mahu katakan tidak kepada persepsi itu.

    “Saya mahu menyanyi dengan Ernie kerana mahu beraksi dengan mereka yang betul-betul boleh menyanyi. Saya boleh naik ‘syeikh’ (beraksi cemerlang) dan boleh bagi saya merinding atas pentas.

    “Saya mahu detik itu sebab sudah lama tiada momen sebegitu dengan penyanyi wanita,” katanya yang bersyukur Ernie menerima pelawaannya. – Agensi

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda