PHNOM PENH, KEMBOJA, 17 JULAI – Mesyuarat Perhimpunan Antara Parlimen ASEAN (AIPA) Caucus ke-16 telah dianjurkan oleh Perhimpunan Kebangsaan Kerajaan Kemboja pada 15 hingga 16 Julai di Phnom Penh, Kemboja.
Menurut kenyataan Jabatan Majlis-majlis Mesyuarat (JMMM), mesyuarat tersebut telah dirasmikan oleh Presiden Perhimpunan Kebangsaan Kerajaan Kemboja, Samdech Maha Rathsapheathika Thipadei Khuon Sudary yang juga dihadiri oleh ahli-ahli parlimen daripada lapan buah parlimen negara ahli AIPA.
Mewakili Majlis Mesyuarat Negara (MMN) ke mesyuarat tersebut ialah Ahli-ahli MMN, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Johan Pahlawan Dato Seri Setia Haji Adanan bin Begawan Pehin Siraja Khatib Dato Seri Setia Haji Mohd Yusof dan Yang Berhormat Hajah Rosmawatty binti Haji Abdul Mumin.
Dengan tema Peace Through Dialogue: The Parliamentary Path Forward, mesyuarat tahunan ini bertujuan untuk memantau pelaksanaan resolusi-resolusi yang telah diluluskan semasa Perhimpunan Agung AIPA ke-45 pada tahun 2024, serta memperkukuh kerjasama antara parlimen-parlimen negara ahli AIPA dalam menyelaras dasar dan amalan terbaik serantau.
Selain itu, Mesyuarat AIPA Caucus ke-16 turut diisikan dengan sesi-sesi dialog parlimen bersama lapan buah negara pemerhati AIPA, rakan pembangunan AIPA serta tetamu-tetamu kepada pihak penganjur.
Sesi dialog parlimen berkenaan bertujuan untuk berkongsi pengalaman, pandangan dan amalan terbaik dalam memperkukuh keselamatan, ketahanan serantau dan pembangunan mampan.
Mesyuarat diakhiri dengan majlis penandatanganan bagi laporan Mesyuarat AIPA Caucus ke-16. Laporan berkenaan seterusnya akan dibawakan ke Perhimpunan Agung AIPA ke-46 untuk diluluskan.