Friday, February 7, 2025
26.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    AIPA sokong inisiatif kerajaan tangani COVID-19

    BANDAR SERI BEGAWAN, 26 JUN – Majlis Mesyuarat Negara (MMN), hari ini, telah mengikuti Mesyuarat Pemimpin ASEAN bersama perwakilan dari ASEAN Inter-Parliamentary Assembly (AIPA) yang telah diadakan secara dalam talian.

    MMN diwakili oleh ahli MMN, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Pendikar Alam Dato Paduka Seri Haji Hasrin bin Dato Paduka Haji Sabtu dan Setiausaha Majlis Mesyuarat Menteri-menteri Kabinet dan Jurutulis MMN, Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Pekerma Jaya Dato Paduka Haji Judin bin Haji Asar yang menyertai mesyuarat berkenaan dari Bangunan Dewan Majlis.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan Jabatan Majlis-majlis Mesyuarat, mesyuarat tersebut dimulakan dengan ucapan pendahuluan daripada Perdana Menteri Vietnam, Tuan Yang Terutama Nguyen Xuan Phuc selaku pengerusi ASEAN diikuti dengan ucapan Presiden AIPA, Puan Yang Terutama Nguyen Thi Kim Ngan.

    Dalam ucapan beliau, Puan Yang Terutama telah menyatakan rasa kebimbangan akan kesan penularan wabak COVID-19 di negara-negara ASEAN namun tetap yakin dan percaya bahawa ASEAN akan dapat menangani wabak tersebut, di samping memulihkan aktiviti sosioekonomi bagi ASEAN Community untuk terus maju ke hadapan.

    Puan Yang Terutama seterusnya menyatakan bahawa AIPA menyambut baik Deklarasi Sidang Kemuncak Khas ASEAN mengenai Penyakit Koronavirus 2019 (COVID-19) dan menghargai usaha bersepadu ASEAN dalam menangani cabaran-cabaran berkaitan.

    Dalam ucapan beliau, Puan Yang Terutama juga menyatakan sokongan anggota Parlimen AIPA dalam perlaksanaan inisiatif kerajaan menangani wabak, meningkatkan kesiapsiagaan nasional dalam situasi darurat, menjamin kesejahteraan rakyat, memulihkan aktiviti ekonomi, mengekalkan kestabilan pembangunan di negara-negara dan juga di rantau ini.

    Di samping itu, Puan Yang Terutama menyatakan bahawa AIPA sebagai badan perundangan serantau memainkan peranan penting dalam integrasi ASEAN dan mendorong kerjasama dalam berbagai bidang.

    Pada akhir ucapan, Puan Yang Terutama menyatakan perlunya AIPA dan ASEAN untuk terus mengembangkan kerjasama yang lebih mendalam dan praktikal untuk menjadikan komuniti ASEAN lebih sejahtera, lestari, kohesif dan responsif. Kenyataan menyatakan bahawa sebagai pemimpin Parlimen ASEAN, AIPA sangat menghargai ASEAN dan berharap dapat bekerjasama erat bersama ASEAN untuk membangun negara-negara bebas, dinamik, bersatu dan berkembang pesat di Asia Tenggara kerana ASEAN mempunyai peranan penting dalam seni bina rantau dan dunia yang berkembang.

    Pada mesyuarat tersebut, tambah kenyataan, ketua-ketua kerajaan ASEAN bersama perwakilan-perwakilan AIPA turut membincangkan isu-isu serantau dan antarabangsa yang berkaitan.

    Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN) semasa Mesyuarat Pemimpin ASEAN bersama perwakilan dari ASEAN Inter-Parliamentary Assembly (AIPA) yang diadakan secara dalam talian. – Gambar serahan Jabatan Majlis-majlis Mesyuarat
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda