Oleh Syahmi Hassan
BANDAR SERI BEGAWAN, 5 JUN – Laporan negara mengenai situasi semasa pengedaran dan dadah, undang-undang dan dasar negara, penguatkuasaan undang-undang, kerjasama serantau dan antarabangsa, serta tindakan lain yang diambil untuk memerangi dadah dan pemerdagangannya telah dibentangkan dalam Mesyuarat Majlis Penasihat Perhimpunan Antara Parlimen ASEAN mengenai Dadah Berbahaya (AIPACODD) ke-6 yang telah diadakan pada 29 Mei hingga 1 Jun lalu di Bogor, Indonesia.
Mesyuarat tersebut telah dihadiri oleh lebih 25 orang ahli parlimen daripada negara ahli Perhimpunan Antara Parlimen ASEAN (AIPA), termasuk ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Negara Brunei Darussalam.
Delegasi MMN diketuai oleh ahli MMN, Yang Berhormat Hajah Safiah binti Sheikh Haji Abdul Salam berserta ahli MMN, Yang Berhormat Haji Mohd Salleh bin Haji Othman.
Dalam kenyataannya, Yang Berhormat Hajah Safiah menyatakan bahawa dengan bekerja secara kolektif, berkongsi amalan terbaik dan rangka kerja perundangan yang kukuh, ASEAN akan mampu menangani ancaman dadah berbahaya dengan berkesan dan melindungi kesejahteraan rakyat masing-masing.
Pada sesi terakhir mesyuarat tersebut, sebuah deraf resolusi mengenai Supporting Inclusive Economic Growth for Drug-Free ASEAN telah dipersetujui untuk dibentangkan semasa Perhimpunan Agung AIPA ke-44 yang akan diadakan pada Ogos depan.



