WASHINGTON, 22 DIS – Jika rasanya teruk, ia mesti bagus untuk awda?
Bawang buatan sendiri yang dijadikan ‘penawar’ untuk selesema merupakan maklumat salah perubatan terbaharu yang sedang tular di TikTok.
Video yang menyiarkan campuran yang dibuat dengan merendam bawang mentah yang dihiris dalam air sebagai penawar mujarab telah menarik puluhan juta penonton di aplikasi terkenal meskipun tidak adanya bukti saintifik untuk menyokong dakwaan tersebut.
Video tersebut telah mendapat sambutan ramai ketika Amerika Syarikat berdepan tiga wabak, iaitu influenza, COVID dan RSV yang telah membebani perkhidmatan kesihatan.
Bawang dalam kuantiti sedikit tidak dianggap memudaratkan kecuali memberikan bau tidak menyenangkan, namun pakar kesihatan mengingatkan video yang mempromosi kepercayaan karut mengenai penawar tersebut mungkin akan menjejaskan kesihatan awam.
“Bawang tidak akan menjejas sesiapa, tetapi sekiranya ada orang yang sakit, mereka harus mendapatkan nasihat doktor,” beritahu Katrine Wallace, pakar epidemiologi dan penolong profesor di Universiti Illinois Chicago kepada AFP.
“Saya risau orang hanya akan meminum bawang dan enggan mendapatkan rawatan doktor dan mereka mungkin menyebar COVID atau selesema dalam komuniti.
“Namun saya menjangkakan masyarakat dengan akses terhad kepada penjagaan kesihatan, sistem penjagaan kesihatan yang terbeban, dan pendekatan yang agak mengelirukan terhadap gelombang penyakit terbaharu, akan mula meminum air bawang atau meletakkan bawang putih dalam telinga mereka.” – AFP


