Wednesday, February 5, 2025
27.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Air India tempah 100 pesawat Airbus

    MUMBAI, 10 DIS – Air India telah membuat tempahan untuk membeli 100 pesawat Airbus tambahan, kata syarikat penerbangan milik Tata Group itu kelmarin, dalam satu perjanjian yang bertujuan untuk memperkukuhkan armadanya dan menarik lebih ramai penumpang.

    Syarikat penerbangan itu menyatakan bahawa perjanjian tersebut terdiri daripada 10 pesawat A350 berbadan lebar dan 90 pesawat A320 berbadan sempit.

    Pembelian baharu itu, kata syarikat dalam satu kenyataan, adalah ‘tambahan’ kepada pesanan untuk 470 pesawat yang telah ditempah oleh Air India dengan Airbus dan Boeing tahun lalu.

    Apabila kedua-dua perjanjian tersebut diumumkan, ia adalah pesanan terbesar yang diumumkan pada masa yang sama oleh sebuah syarikat penerbangan komersial, dengan pengiraan harga senarai untuk pesawat-pesawat tersebut menunjukkan anggaran nilai melebihi AS$70 bilion.

    “Pesanan terbaharu ini menjadikan jumlah pesawat yang ditempah oleh Air India dengan Airbus pada 2023 daripada 250 pesawat, yang terdiri daripada 40 pesawat A350 dan 210 pesawat A320, kepada 350,” kata syarikat penerbangan itu dalam satu kenyataan, tanpa memberikan butiran harga bagi tempahan terbaharu.

    Pengerusi Tata Sons, Natarajan Chandra-sekaran berkata syarikat penerbangan itu melihat ‘kes jelas’ untuk Air India mengembangkan armadanya pada masa depan lebih daripada 470 pesawat yang ditempah pada 2023.

    “Tambahan 100 pesawat Airbus ini akan membantu meletakkan Air India di landasan menuju pertumbuhan yang lebih besar dan menyumbang kepada misi kami untuk membina Air India menjadi syarikat penerbangan bertaraf dunia yang menghubungkan India ke setiap pelosok dunia,” kata Chandrasekaran dalam satu kenyataan. – AFP

    Pelawat berkumpul berhampiran syarikat penerbangan Air India Airbus A350 pertama India di Lapangan Terbang Begumpet di Hyderabad pada 18 Januari lalu. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda