Air kekuningan di beberapa kawasan

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 22 JULAI – Jabatan Kerja Raya (JKR), Kementerian Pembangunan, dalam kenyataan yang dikeluarkan, di sini, hari ini, memaklumkan mengenai isu warna air kekuningan di beberapa kawasan pada masa ini.

Kenyataan menyatakan bahawa sejak beberapa hari kebelakangan ini kualiti air mentah Sungai Tutong tidak konsisten dan mengandungi tahap Colour Unit atau warna yang gelap (kehitaman).

Walau bagaimanapun, Loji Rawatan Air Bukit Barun telah meningkatkan operasi desludging untuk mengurangkan floc dan mencegah sistem penapisan air (water filtration system) daripada tersumbat.

Operasi berkenaan telah mengakibatkan gangguan bekalan air atau tekanan air rendah di beberapa kawasan terutama di kawasan tinggi. Walau bagaimanapun, pihak jabatan telah meningkatkan usaha untuk menangani isu air berwarna dengan melaksanakan pelbagai kerja operasi.

Kenyataan menyatakan bahawa kerja-kerja operasi berkenaan termasuk mencuci tangki-tangki simpanan air, menggunakan kimia tambahan, memastikan segala tangki penapisan, kolam penjernih, dos kimia, pam-pam dan sebagainya di loji rawatan air berfungsi dengan baik serta memantau kualiti air mentah.

Di samping itu, JKR juga sentiasa memantau kualiti bekalan air berdasarkan parameter garis pandu Piawaian Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Jabatan itu juga sentiasa menjalankan pemantauan rutin ujian sampel air serta melaksanakan operasi flushing rangkaian paip air secara berterusan di kawasan-kawasan terlibat.

JKR juga menasihati orang ramai terutamanya yang mempunyai tangki rumah dan penapis air persendirian untuk memastikan peralatan berkenaan sentiasa dalam keadaan bersih dengan melakukan flushing dan backwashing secara rutin.

Sehubungan itu, JKR memohon kerjasama semua pihak untuk berjimat cermat dalam penggunaan air serta menghubungi Talian Darussalam 123 bagi pembekalan air bersih melalui lori tangki atau sebarang aduan berhubung pembekalan air bersih.

JKR memohon maaf atas kesulitan yang dialami dan berterima kasih atas kerjasama dan kesabaran orang ramai.